KUCHING: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yakin akan memenangi satu daripada sebelas kerusi dalam pilihan raya negeri Sarawak pada April ini.

Menurut Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali, daripada 11 kerusi itu, dua calon akan bertanding di kerusi baharu, yang diwujudkan selepas proses persempadanan semula kawasan pilihan raya pada tahun lalu.

“Daripada 11 kerusi ini, Insya-Allah kita ada calon daripada pelbagai latar belakang dan pengalaman.

“Ada antaranya profesional, agamawan dan usahawan,” katanya ketika sidang media di pejabat PAS Sarawak di sini.

12674537_1107830969250906_901259675_n

Hadir sama ialah Timbalan Presiden PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pengerusi PAS Sarawak, Jofri Jeraee.

Mustafa menjelaskan, pihaknya sudah menerima senarai calon dan biodata mereka daripada PAS Sarawak dan akan menyerahkannya kepada Majlis Syura untuk semakan lanjut sebelum keputusan akhir diumumkan.

“Kita yakin calon-calon ini berkelayakan dan mampu membawa nama baik PAS dalam pilihan raya ini kelak,” ujarnya.

Mustafa berkata, jumlah calon kali ini merupakan yang teramai pernah dikemukakan oleh PAS dan ini termasuk seorang bukan Islam.

Jelasnya lagi, PAS optimis bahawa kali ini mereka akan dapat mencipta sejarah dengan memenangi sekurang-kurangnya satu kerusi DUN di Sarawak.

“Kita yakin berdasarkan maklumat dan maklum balas yang kita terima ketika membuat tinjauan awal, ada calon kita yang berjaya menambat perhatian pengundi,” tambahnya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, penampilan calon bukan Islam mewakili parti itu pada PRN kelak bukan perkara baharu.

“Kita pernah menampilkan calon bukan Islam bagi mewakili PAS pada pilihan raya di Semenanjung.

“Dan, di Sarawak mungkin ini merupakan kali pertama calon bukan Islam akan ditampilkan di kerusi tertentu,” katanya.

Berhubung “tahaluf siasi” antara PAS Pusat dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat, hubungan itu tambahnya, masih terjalin erat dan tiada masalah jika kedua-dua parti bekerjasama semasa kempen pilihan raya diadakan kelak.

“Ada masa kita boleh bergerak bersama-sama PKR dalam kempen pilihan raya ini, ada masa kita bergerak sendiri.

“Malah kita kini sedang berunding dengan PKR bagi memastikan tidak berlaku pertindihan calon di kawasan yang ditandingi,” jelasnya. – Sarawak Voice