BINTULU: Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam berhubung rancangan untuk membina sebuah jambatan yang merentangi Sungai Batang Lupar mendapat reaksi berbeza rakyat di kawasan tersebut.

Menurut James Ringgit, 23, cadangan itu seolah-olah mimpi yang menakutkan rakyat di kawasan itu.

“Saya telah hidup di sini berpuluh-puluh tahun, dan kita telah mendengar pelbagai permasalahan rakyat berhubung sungai yang penuh dengan buaya ini.

“Kenapa sekarang baru beliau mencadangkan itu?” ujarnya.

Kata Ringgit lagi, projek bernilai RM1 bilion itu seharusnya tidak dijadikan gula-gula kepada rakyat ketika pilihan raya negeri.

“Bukan sedikit kos yang diumumkan itu ketika ekonomi negara dalam keadaan perit dan tidak stabil.

“Ini menjadikan kami seolah-olah bermimpi di siang hari,” katanya.

Kata James, contoh terbaik ialah pembinaan Hospital Sri Aman yang dijanjikan sejak musim pilihan raya 2011.

“Majlis pecah tanah telah dilaksanakan sejak sekian lama, akan tetapi minggu lalu kita difahamkan projek bernilai lebih RM200 juta itu hanya akan ditender bulan depan,” katanya.

Sehubungan itu, kata James, penting untuk kerajaan menghalusi kertas cadangan, dan memastikan tapak untuk projek pembangunan (jambatan) ini sebelum membuat pengumuman.

“Kita tidak mahu, janji tinggal janji dan rakyat diracuni dengan idea kosong,” katanya.

Pada Majlis Bersama Rakyat di Dewan Suarah Bintulu, dua hari lalu, Datuk Seri Najib mengumumkan pembinaan jambatan terpanjang di negara ini, yang merentangi sungai terbesar di negara ini, iaitu Sungai Batang Lupar di Sri Aman.

Menurutnya, rancangan ini akan turut dimasukkan ke dalam manifesto pada pilihan raya akan datang.

Najib turut menjelaskan, kerajaan juga telah meluluskan dan mula membina 107 sekolah usang yang dikenal pasti oleh Jabatan Pelajaran selain memperuntukkan RM70 juta untuk membaiki atau membina semula rumah-rumah panjang di negeri ini.