Krisis MB Kedah uji kematangan politik

Tengah hari Ahad semalam, saya dipelawa oleh seorang teman untuk menjamu selera di sebuah restoran di Kota Damansara. Sebaik sahaja selesai makan saya bangun untuk mencuci tangan. Semasa saya melintasi sebuah meja yang dihuni oleh seorang wanita, berusia sekitar pertengahan 50 tahun, bersama suaminya, tiba-tiba terpancul dari mulut si isteri, ‘biarlah Mukhriz menjadi menteri besar, kenapa Ahmad Bashah nak gantikan dia pulak?’

Apabila saya kembali ke meja makan semula, kawan saya tersenyum dan menjeling ke belakang. Rupanya kawan saya itu pun mendengar dialog si isteri yang berada sedepa sahaja di belakang beliau.

Pergolakan politik di negeri jelapang padi baru-baru ini telah mencuit hati dan menjadi isu hangat yang diperkatakan di hampir segenap cerok dan pelosok tanah air, khususnya dalam kalangan pengundi atas pagar.

Media arus perdana telah memberi gambaran bahawa negeri Kedah semacam ‘sudah pasti’ akan mendapat seorang Menteri Besar yang baharu pada hujung bulan Januari ini. Mukhriz Mahathir, iaitu Menteri Besar sekarang, sudah tidak mempunyai pilihan lagi, masanya sudah tiba untuk ditukarkan.

Malah sebelum Datuk Seri Najib Razak, Presiden UMNO dijadualkan bertemu dengan para pemimpin Kedah di PWTC pada 22 Januari 2016, media arus perdana telah tampilkan empat nama calon yang layak untuk menjadi Menteri Besar Kedah. Pertama ialah Ahmad Bashah Md. Hanipah, iaitu Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah. Kedua ialah Dr Ku Rahman Ku Ismail, iaitu Exco Jawatankuasa Industi dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi; Ketiga ialah Mohd. Rawi Abdul Hamid, iaitu Exco Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya; dan keempat ialah Tajul Urus Mat Zain, iaitu Exco Pendidikan, Pengangkutan dan Perumahan Kerajaan Tempatan.

Ahmad Bashah dilihat tidak mempunyai kelayakan dari segi pendidikan dan difikirkan mungkin laluannya akan ‘terhalang’ dari menduduki kerusi menteri besar. Justeru, tiga nama berikutnya seperti Dr Ku Rahman Ku Ismail, Mohd Rawi Abdul Hamid dan Tajul Urus Mat Zain yang dikatakan mempunyai kelayakkan akademik lebih tinggi telah dimainkan oleh media.

Pendirian media arus perdana tersebut, secara tanpa sedar mungkin dipandu oleh sejarah berkenaan pergolakkan yang dihadapi oleh mereka yang menduduki kerusi Menteri Besar Kedah. Datuk Seri Syed Nahar Tun Syed Sheh Shahabudin, Tan Sri Osman Aroff, Tan Sri Sanusi Junid, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain Barakhbah, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Tan Sri Azizan Abdul Razak, merupakan pemimpin-pemimpin yang telah merasai “pergolakan” semasa menduduki kerusi MB Kedah. Kebanyakan pergolakan tersebut berakhir dengan peralihan kerusi menteri besar kepada muka baru.

Selain itu, peralihan Menteri Besar Selangor melibatkan Khalid Ibrahim dan Azmi Ali pada penghujung tahun 2014 dan Menteri Besar Terengganu melibatkan Ahmad Said dan Ahmad Razif Abdul Rahman selepas PRU ke -13, menguatkan lagi keyakinan pengamal media arus perdana bahawa perjalanan Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah telah sampai ke penghujungnya.

Saya fikir sikap yang diambil oleh media arus perdana ini sebagai amat tidak matang. Dengan mengambil sikap seperti itu, Mukhriz telah dianggap melakukan ‘dosa besar’ yang tidak lagi boleh diampunkan. Biasanya dalam sesebuah organisasi, jika seseorang pekerja berhadapan dengan masalah prestasi, peluang kedua diberikan kepadanya. Adakah amalan baik dan positif ini tidak sesuai diamalkan dalam dunia politik?

Kepada pengundi atas pagar, sikap yang terus menghukum dan tiada maaf tentulah dianggap sebagai amat zalim.

Itulah sebabnya kenapa kita lihat mak cik di atas tadi dan ramai netizen tidak merestui tindakan Ahmad Bashah dan KUB di Kedah. Pihak pengamal media arus perdana mengetahui bahawa Ahmad Bashah tidak diterima oleh pengundi muda dan pengundi atas pagar kerana masalah kelayakkan akademik. Sebab itulah nama-nama tambahan seperti dinyatakan pada awal tadi dikemukakan. Tindakan tersebut diharap dapat meredakan kemarahan para pengundi muda dan penyokong Mukhriz.

Konteks di mana pergolakan yang berlaku di negeri Kedah pada kali ini amat berbeza dengan episod-episod pergolakan seperti yang berlaku di Kedah sebelumnya. Pergolakan pada kali ini juga tidak boleh disamakan dengan episod di Selangor dan Terengganu. Perkara ini, jika berkesempatan saya akan ceritakan pada masa lain.

Setakat ini, apabila Datuk Seri Najib tidak bertemu dengan para wartawan selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin UMNO Kedah yang diadakan di PWTC pada petang 22 Januari lalu, ramai yang membuat andaian bahawa Presiden UMNO itu tidak menyokong tindakan kumpulan Ahmad Bashah. Kemudiannya, pada petang 23 Januari, gambar Mukhriz Mahathir menyambut ketibaan Datuk Seri Najib di lapangan terbang Langkawi tersebar dengan meluas di gerbang media sosial.

Bahasa badan yang ditunjukkan oleh kedua-dua pemimpin berkenaan memperlihatkan bahawa mereka tidak ada masalah. Saya fikir Najib Razak telah memberi isyarat bahawa beliau adalah seorang pemimpin yang ‘berjiwa besar’ seperti yang pernah diucapkan semasa ucapan penutup di majlis Perhimpunan Agong UMNO Disember 2015. Pemimpin yang berjiwa besar sudah pasti boleh memaafkan dan memberi ‘peluang kedua’.

Sikap ini patut dihormati oleh semua pihak. Dalam mengharungi dunia organisasi dan politik, satu prinsip yang perlu dipegang oleh semua adalah setia dan taat kepada pemimpin. Jika semua itu tidak ada, kata seorang teman dari utara, ‘kita memang mencari bala’.