Douglas Uggah kembali ke Sarawak?

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem telah  menyatakan kemungkinan PBB akan membariskan ahli Parlimen sebagai calon Pilihan Raya Negeri Sarawak  ke-11.  

Hal ini menjadi tanda tanya dalam kalangan orang-orang politik sendiri dan rakyat negeri Sarawak. Pelbagai andaian, tafsiran, interpretasi, pandangan bahkan harapan  berdasarkan sentimen rakyat tercetus. Jadi, sebagai pemerhati politik sudah tentu aspek ini menarik untuk dikaji dan diberikan interpretasi.  Hal ini kerana politik Sarawak bersifat dinamik dan boleh sahaja berubah  mengikut situasi dan pergolakan  politik semasa.  

Pada masa yang  sama, perubahan landskap politik Sarawak sememangnya dijangka sesuai dengan perubahan kepimpinan politik negeri Sarawak, iaitu daripada kepimpinan politik pembangunan era Tun Taib Mahmud ke era politik kesejahteraan di bawah kepimpinan  Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem. Jadi, di sinilah  dikemukakan interpretasi politik berkenaan antara calon ahli dewan undangan negeri baharu yang mempunyai pengalaman  sebagai ahli Parlimen.

Interpretasi pertama  ialah jangkaan  bahawa Datuk Douglas Uggah Embas akan kembali ke Sarawak. Datuk Douglas merupakan  Ahli Parlimen Betong yang sudah  7 penggal, iaitu sejak tahun 1986.  Dengan kata lain, beliau merupakan Ahli Parlimen kanan yang mempunyai pengalaman  luas dalam hal ehwal politik di Kuala Lumpur.  

Beliau  bergerak dari bawah, iaitu daripada setiausaha politik kepada Ketua Menteri Sarawak (1977-1986), pengerusi Majlis Daerah Sri Aman (1987-1990), Setiausaha parlimen di Jabatan Perdana Menteri (1990-1995), setiausaha parlimen  di kementerian Luar bandar (1995-1999), timbalan menteri di Jabatan perdana Menteri (1999-2003), Timbalan Menteri Pengangkutan (2003-2008),  hinggalah  menjadi Menteri Sumber Alam dan Persekitaran ( 2008-2013) selepas pilihan raya 2008.  Siapakah mampu meminggirkan pengalaman luas ini?

Ternyata beliau bukannya Ahli  Parlimen satu penggal! Atau setiausaha politik separuh penggal! Jadi,  pengalaman luas ini merupakan satu aset berharga  kepada pembangunan politik di Sarawak.

Ternyata pengalaman luas dan pelbagai ini mengukuhkan pandangan bahawa sudah tiba masanya beliau kembali ke Sarawak membantu Ketua Menteri Sarawak dalam meneruskan fasa pembangunan khususnya  membangunkan  sektor di luar bandar yang masih perlu diberikan perhatian yang serius.

Kini beliau merupakan  Menteri Perladangan Industri dan  Komoditi yang dipercayai  Datuk Patinggi Adenan Satem  dalam  beberapa hal berkaitan  sayap politik pesaka.  Difahamkan dalam isu-isu berkaitan permasalahan  dan pembangunan etnik Iban, Datuk Douglas antara beberapa pemimpin pesaka yang sering dibawa berbincang dan membuat keputusan.

Pendekatan politik Datuk Douglas yang sering mengemukakan dan mencari   jalan penyelesaian  dalam permasalahan politik hingga  dalam soal pembangunan negeri dan negara  secara bernas dan rasional merupakan antara faktor  Datuk Douglas disenangi.  Lulusan Universiti Malaya ini

Secara peribadi, Datuk Douglas juga disenangi oleh akar umbi kerana sifat mesra rakyat, merendah diri dan tidak sombong.  Aspek ini merupakan pakej politik yang sangat penting dalam era politik baharu negara.

Dalam konteks ini, tentulah Datuk Douglas lebih bersedia sekiranya dapat bertanding di kawasan N37 Bukit Saban yang merupakan  tempat kubu kuatnya. Dalam politik PBB, Datuk Douglas merupakan anak didik  dan orang kepercayaan Datuk Patinggi Tan Sri  Alfred Jabu Timbalan Presiden  PBB. Beliau dipercayai oleh Tan Sri Jabu  sebagai generasi pelapis  yang dapat mengambilalih kepimpinan Timbalan Presiden PBB sekiranya Tan Sri Jabu  ingin berundur pada masa akan datang.

Interpretasi  dalam perubahan politik ini menarik untuk diteliti, meskipun Adenan yang juga Pengerusi BN Sarawak  belum  lagi  memberikan apa-apa bayangan  berkenaan Ahli Parlimen yang akan “dibawa balik”.

Namun, berdasarkan situasi politik semasa di negeri Sarawak setakat  ini, dapat ditafsirkan bahawa Datuk Douglas merupakan salah seorang Ahli Parlimen yang patut diberikan  perhatian oleh pengkaji politik Sarawak.  Selebihnya, ditentukan sendiri oleh  Datuk Patinggi  Tan Sri Adenan Satem.