RM5 juta bina benteng hakisan Sebuyau

SEBUYAU: Bagi menangani masalah hakisan tebing yang menjadi mimpi ngeri penduduk di Sebuyau, Kerajaan Pusat telah memperuntukkan RM5 juta untuk membina benteng kawalan hakisan di situ.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Wan Junaidi Tunku Jaafar berkata, suntikan kewangan ini akan disalurkan segera berikutan pola hakisan yang semakin teruk dan pantas memusnahkan beberapa kampung di daerah kecil itu.

Bagaimanapun katanya, peruntukan itu hanya mampu menampung kos pembinaan tebing untuk sepanjang 3.5 kilometer.

” Berdasarkan perancangan, kos keseluruhan untuk membangunkan benteng kawalan hakisan di sepanjang 25 kilometer tebing itu menelan RM250 juta,” katanya ketika ditemui sewaktu melawat tapak projek tersebut di sini pagi ini.

Hadir sama ialah Menteri Muda Pembangunan Perindustrian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sebuyau, Datuk Julaihi Nahrawi.

Wan Junaidi yang juga mantan ahli parlimen kawasan tersebut berkata, dalam tempoh 10 tahun, ombak besar dari laut China Selatan telah menyebabkan hakisan sejauh 140 meter ke dalam pesisir Sebuyau.

” Oleh itu, penting untuk projek ini disegerakan bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih sukar dan rumit,” katanya. – Sarawak Voice