BELAWAI : Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud semalam menyarankan agar pemimpin Islam Belawai mengambil inisiatif untuk mempelbagaikan galakan membaca dan mendalami ilmu Al-Quran dalam kalangan penduduknya.

Menurutnya, usaha ini boleh dilakukan dengan membawa guru-guru agama dan al quran ke sekolah-sekolah di sekitar Belawai, selain ke kawasan pedalaman bagi membantu memperhalusi mutu bacaan Al-Quran di kawasan tersebut.

” Belawai telah melahirkan ramai ilmuan agama, malah turut memiliki qari dan qariah terbaik di Sarawak sejak tahun 1990-an lagi,” katanya ketika berucap merasmikan Masjid Darul Arqam di sini, semalam.

Pada masa yang sama, beliau turut menyarankan Majlis Islam Sarawak mewujudkan dana khas untuk mempergiat usaha meningkatkan mutu pembacaan Al-Quran di negeri ini, terutama di kawasan pedalaman.

Usaha ini juga jelasnya, diharap dapat menarik generasi muda agar menghayati budaya pembacaan Al-Quran.

Tun Taib turut menyeru pemimpin-pemimpin Islam di negeri ini agar sentiasa menyokong dan meneruskan aktiviti-aktiviti keagamaan tanpa mencampuradukkannya dengan isu politik.

” Ini kerana di Sarawak masyarakat bukan Islam dapat menerima fahaman Islam lebih baik berbanding mereka yang di Semenanjung.

” Oleh itu, kita hendaklah menunjukkan fahaman dan amalan positif, selain tawaduk bagi menggelakkan sebarang syak wasangka, selain menunjukkan ajaran Islam yang baik , syumul serta memelihara amalan terpuji,” pesannya.

Masjid Darul Arqam ini dibina semula bagi menggantikan masjid lama yang berusia lebih 30 tahun.

Masjid baharu ini dibina di atas tanah seluas 11 hektar dan dapat menampung seramai 2000 jemaah pada satu-satu masa.

Pembinaan masjid ini bermula pada Februari 2014 dan siap dibina pada Jun 2015 dengan kos RM4.7juta.

Antara kemudahan yang dibina termasuklah bilik wuduk, tandas lelaki dan wanita, bilik jenazah, dapur, perpustakaan, pejabat, bilik tutorial, ruang serbaguna, ruang solat utama, bilik Imam, bilik serbaguna, mimbar, mihrab (ruang legar) dan ruang azan.

Pada majlis tersebut Tun Taib turut menyaksikan majlis penyerahan cek yang masing-masing bernilai RM500 ribu daripada Lembaga Amanah Kebajikan Negeri Sarawak kepada Masjid Darul Arqam dan Masjid Kampung Jerijeh, Belawai. – Penerangan