Larry Sng bertanding di Bukit Goram

Kuching: Presiden Parti Pekerja Sarawak (SWP), Larry Sng Wei Shen, hari ini mengesahkan beliau akan bertanding di DUN Bukit Goram, pada pilihanraya negeri akan datang.

Dalam satu kenyataan ringkaslarry sng 2 menerusi facebook, Larry mengakui telah membuat keputusan berhubung perkara itu dan tidak akan berpatah balik.

Pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Pelagus sebelum menyerahkan kepada sepupunya, George Lagong pada pilihanraya negeri yang lalu, Larry bertekad untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat pimpinannya, jika menang.

” Saya telah bersedia dari segi mental dan fizikal dan akan mengorbankan segala-galanya untuk rakyat yang akan saya wakili kelak,” tambahnya.

Mengakui ia bakal menjadi pertempuran terbesar dalam sejarah hidupnya, Larry berkata dia bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan.

Larry pernah menjawat Menteri Muda Pembangunan Sosial (Belia) pada zaman pemerintahan Tun Abdul Taib Mahmud, sebelum dipecat daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS), apabila wujud krisis di antara bapanya, Datuk Sng Chee Hwa dengan presiden PRS, Tan Sri James Jemut Masing.

DUN Bukit Goram merupakan kerusi baharu selepas proses persempadanan semula DUN Sarawak pada tahun lalu. – Sarawak Voice