Hubungan antara wakil rakyat dengan pengundi merupakan sesuatu yang unik. Harapan pengundi semestinya mahukan ‘wakil rakyat’ yang boleh berkhidmat untuk mereka untuk lima tahun akan datang. Malangnya ada kalanya terdapat parti yang menurunkan calon ‘wakil rakyat’ atas kepentingan tertentu yang menjurus kepada konflik dalaman dan sabotaj dalam situasi tertentu – yang mana menakutkan pengundi untuk mengundi calon atau parti berkenaan.

Terdapat wakil rakyat yang sebaik keseluruhan keputusan undi semua kerusi diperoleh terus mengisytiharkan tidak mampu menunaikan manifesto sewaktu kempen pilihan raya kerana bukan parti mereka yang membentuk kerajaan. Hubungan antara wakil rakyat dengan rakyat tidak seharusnya kompleks; sebaliknya mudah bagai aur dengan tebing.

Apabila kita berbicara tentang sistem elektoral, jarang-jarang kita berbicara tentang nilai pada seorang pengundi. Pengundi itu penting dan topik ‘kuasa rakyat’ sering juga diuar-uarkan dari semasa ke semasa. Pengundi dewasa kini dikatakan mempunyai literasi politik dan demokrasi yang lebih tinggi.

Begitu pun, masih timbul persoalan apakah nilai seorang pengundi hanyalah pada undi di tangannya sewaktu pilihan raya? Bagaimana pula dengan kepentingan pengundi ini di luar musim pilihan raya? Atau pengundi yang memberikan kemenangan kepada calon yang bukan daripada parti yang membentuk kerajaan daripada pilihan raya tersebur. Rata-rata mempunyai interpretasi dan kefahaman yang berbeza mengikut sudut pandangan masing-masing.

Sejurus selepas PRU ke-13 (2013), sebuah akhbar bahasa Melayu nasional mengemparkan seluruh warga Malaysia dengan tajuk berita “Apa lagi Cina mahu?”. Terkejut besar di samping terguris juga hati sedikit tetapi saya memahami tajuk itu hanyalah suatu ungkapan penarik dalam penulisan berita untuk menarik orang ramai membacanya. Berapalah sangat pengundi Cina di Malaysia ini kerana ikut daftar pemilih Cina yang ada pada SPR hanyalah lebih kurang 30 peratus daripada keseluruhan pengundi berdaftar di Malaysia. Apakah artikel berita tersebut mengiktiraf pengundi Cina ialah Kingmaker dalam politik Malaysia?

Pilihan raya dalam konteks hari ini mustahil bagi seseorang calon atau parti memenangi sesebuah kerusi dengan memfokus kepada etnik tertentu sahaja. Mereka yang ingin menjadi calon haruslah mampu memotretkan diri mereka sebagai pejuang untuk semua kaum. Tiada satu pun kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen terdiri daripada pengundi satu etnik sahaja.

Dalam PRU pada 2008 dan 2013 kita boleh lihat pengundi Cina sepakat untuk mengundi calon pembangkang. Ini berbeza dengan senario dalam PRU-10 pada 1999 yang menyaksikan mereka mengundi calon BN meskipun masih lagi tempias dengan kesan-kesan krisis kewangan 1997. Pilihan pengundi Cina di Sarawak dalam PRN ke-11 akan datang pastinya suatu yang dinanti-nantikan kerana dianggap sebagai indikator kepada trend pengundian pengundi Cina secara umum dalam pilihan raya umum.

Setiap pengundi realitinya mempunyai satu undi sahaja di tangan, tetapi bagaimana dengan peranan dan sumbangan lain yang boleh dimainkannya. Pernahkah kita menghayati nilai sebenar pada seorang pengundi? Lazimnya apa yang boleh dilihat secara tradisinya pengundi-pengundi Cina, misalannya bukan sahaja menguni calon dan parti yang mereka percayai atau terlibat sebagai sukarelawan membantu mengerakkan jentera kempen pilihan raya, tetapi sebahagian mereka turut menghulurkan derma atau sumbangan kewangan. Dalam pilihan raya sebelum ini mendedahkan pembangkang lebih berjaya dalam memperolehi sumbangan menerusi perbankan internet serta kutipan derma sewaktu kempen pilihan raya.

Setiap pengundi tanpa mengira latar belakang demografi hakikatnya tetap hanya mempunyai satu undi sahaja, tetapi dalam keadaan-keadaan tertentu sesetengah daripada mereka terutamanya pemimpin pendapat dilihat lebih penting. Pengundi Cina mungkin sering kali dilihat lebih berkemampuan dari segi ekonomi, tetapi kita jangan lupa pengundi bumiputera menang dari segi kuantiti mereka. Apa pun sewajarnya semua pengundi harus dilihat sama penting, setiap undi mempunyai peranan signifikannya. Harapan pengundi sudah pastinya inginkan mereka dilihat sama penting – bekerjasama bersama-sama untuk kepentingan faedah bersama. Ini juga bermakna calon dan pengundi seharusnya adalah rakan setara. – Sarawak Voice