Dua keluarga sehelai sepinggang: Rumah hangus sekelip mata

Kuching: Ia hari paling menyedihkan bagi Bakar Siri, 47 tahun, apabila melihat rumah tradisi keluarga yang dihuni sejak sekian lama musnah dijilat api petang tadi.

Dalam tragedi sekitar jam 4.30 petang di Kampung Pulo itu, dia sekeluarga hanya dapat memerhati kepantasan api membakar rumahnya, sebelum beralih ke rumah adiknya, yang terletak bersebelahan.

Bagaimanapun, nasib masih menyebelahi Bakar sekeluarga apabila semua ahli keluarganya selamat, termasuk anak lelakinya yang berusia 17 tahun dan kurang upaya.

 

Turut tinggal sehelai sepinggang ialah tiga sekeluarga yang menghuni rumah bersebelahan.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya, Mirza Dzalmira, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 4.45 petang.

” Sebuah jentera dengan tujuh anggota kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian, diikuti sebuah jentera sokongan, juga dengan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya sebagai pasukan sokongan.

12583629_1102723519761651_2080043549_n

Menurutnya, ketika bomba tiba, sebuah rumah dua tingkat telah terbakar lebih 90 peratus manakala sebuah lagi rumah setingkat yang bersambung di bahagian dapur musnah seluruhnya.

” Kami terpaksa menggunakan teknik ‘fire brake’ dan ‘cooling’ bagi memadamkan kebakaran tersebut,” katanya.

Berdasarkan maklumat awal, pasukan penyiasat tidak menolak kemungkinan litar pintas menjadi punca kebakaran. – Sarawak Voice