AAKS kekang kebocoran sempadan negara

TEBEDU: Bagi mengekang kebocoran sempadan dan mencegah penyeludupan, kerajaan kini sedang dalam proses menubuhkan Agensi Kawalan Keselamatan Sempadan (AKKS).

Menurut Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim, agensi itu ditubuhkan bagi meningkatkan kualiti keselamatan di sempadan di negara.

” Bagaimanapun, rancangan itu masih dalam perbincangan dan diyakini akan dilaksanakan secepat mungkin selepas diaktifkan nanti,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Sarawak (CIQ) Tebedu di Jalan Serian-Tebedu di sini.

Kata Fuad, fasa pertama pelaksanaan itu akan dilakukan di Semenanjung sebelum diperluas ke Borneo.

” Fasa kedua pula melibatkan sempadan Sarawak-Indonesia dan Brunei, manakala Sabah dengan Filipina,” katanya.

Menurutnya, AKKS akan diketuai oleh komander PDRM dan dibantu oleh Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia serta 13 agensi lain.

” Ia akan dilengkapi dengan elemen teknologi keselamatan seperti sistem kamera litar tertutup (CCTV), pagar elektrik dan penggunaan sistem dron bagi pengawasan udara.

12575832_1102722279761775_603736356_n Keselamatan sempadan jelasnya, kini antara perhatian utama kerajaan kerana banyak aktiviti berlaku di sini termasuk penyeludupan keluar barang kawalan dan penyeludupan manusia.

“Malah penubuhan agensi itu dilihat tepat pada masanya, ketika negara kini berdepan ancaman militan,” katanya.

Mengenai tindakan pihak berkuasa Indonesia membina jalan keselamatan di kawasan sempadan sehingga merosakkan pagar sempadan berdekatan Kompleks CIQ Tebedu, Fuad berkata, pihaknya sudah melaporkannya kepada Kementerian Luar Negeri untuk tindakan lanjut.

“Wisma Putra sudah menghantar nota bantahan menerusi saluran diplomatik kepada kerajaan Indonesia berhubung isu itu.

” Dan kita berusaha mengelakkan pertikaian,” katanya. – Sarawak Voice