Kuching: Pasti tiada yang lebih membahagiakan bagi pesara Perbadanan Limbungan Brooke, Ali Satem, melainkan melihat tempatnya berteduh tersergam indah.

Biarpun tidak mewah, namun kesanggupan mereka yang prihatin membaik pulih rumahnya yang uzur, adalah realiti yang tidak pernah dimimpikan.

Kini teratak di Kampung Samariang Jaya Fasa 2, dekat sini memberi sejalur cahaya bagi dirinya dan lima anaknya.

” Sekurang-kurangnya saya tidak dibelit kerisauan ketika memburu rezeki,” katanya yang kini bekerja sambilan menjaga rumah kenamaan.

12596132_1102380769795926_981120155_nKesyukuran terpancar jelas hingga dirinyoleh Joseph tidak mampu berkata-kata.” Terima kasih. Saya berasa bangga mendapat bantuan daripada kerajaan,” ucap ringkas Ali selepas Majlis Penyerahan Bantuan Membaik Pulih Rumah Pesara Negeri Sarawak Inisiatif 1 NBOS.
Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Dato Jalil Marzuki.

Menurut Jalil, rumah tersebut antara sembilan rumah lain di Sarawak yang dibina di bawah program yang sama, dengan peruntukan sekitar RM15 ribu daripada Kementerian Kewangan.

” Kita ada 10 program baiki rumah ini, dengan lima daripadanya dilaksanakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat dan baki oleh Akademi Binaan Malaysia.

Projek ini katanya, dimulakan sejak Disember lalu, dengan enam daripada 10 rumah telah siap dibina manakala empat lagi dijadualkan siap hujung bulan ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak, Nor Hisham Mohammad berkata, seramai lima anggota terlibat dalam projek tersebut yang mengambil masa selama 13 hari untuk disiapkan.

” Satu-satunya cabaran kita ialah rumah ini terletak di atas air manakala terasnya tidak kukuh.

” Ini menyebabkan fokus pada peringkat awal pembinaan ialah menyediakan asas tapak yang kuat sebelum pembinaan dapur,” katanya.

Tambah Nor Hisham, bomba negeri turut menyumbang tambahan RM2 ribu menerusi kelab kebajikannya untuk membeli bahan binaan.

FAKTA: KERJA-KERJA YANG DILAKUKAN:
1. Menaikkan bumbung bahagian dapur
2. Menggantikan dinding rumah yang reput
3. Memasang pintu dapur
4. Membaiki bumbung bahagian bilik mandi dan tandas
5. Menukarkan semua tingkap sedia ada
6. Memasang kipas

Kerja-kerja tambahan;
1. Memperbesarkan dapur termasuk dinding dapur yang baru
2. Menaikkan paras lantai di dalam dapur
3. Menggantikan keseluruhan lantai rumah
4. Menggantikan kesemua dinding bilik mandi
5. Mengecat luar dan dalam rumah