Penurunan kuasa kurangkan kerenah birokrasi

Penurunan kuasa tertentu kepada kerajaan Negeri Sarawak oleh Kerajaan Pusat dipercayai dapat mengurangkan cekikan kerenah birokrasi dan menjadikan jentera pentadbiran lebih cekap, dan seterusnya melancarkan pentadbiran dan pelaksanaan projek di Sarawak.

Tan Sri Adenan Satem berkata dalam rundingan  yang diadakan di Putrajaya itu, kerajaan persekutuan bersetuju menurunkan 13 kuasa pentadbiran kepada kerajaan Negeri.

Perbincangan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan Adenan berlangsung di Putrajaya pada 20 Januari, dan telah mencapai persetujuan dalam 13 perkara berkaitan penurunan kuasa pentadbiran oleh kerajaanm persekutuan kepada Sarawak.

Adenan telah mengambil langkah menuntut penurunan lebih banyak kuasa pentadbiran daripada kerajaan pusat dua minggu selepas mengambil alih jawatan Ketua Menteri.

“Keputusan rundingan antara saya dengan Perdana Menteri semalam sangat positif. Semalam merupakan fasa pertama rundingan berkisar kepada kuasa pentadbiran, fasa kedua mengenai hak-hak dan perlembagaan persekutan dan fasa ketiga berkaitan pengurusan kewangan di bawah perlembagaan persekutuan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia.

Beliau menambah fasa kedua dan ketiga rundingan akan dilakukan secara berperingkat-peringkat kerana membabitkan undang-undang negara dan Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh sebab itu saya memerlukan mandat yang besar pada pilihan raya negeri nanti, supaya saya berada dalam kedudukan yang mantap untuk meneruskan rundingan fasa kedua dan ketiga bersama Perdana Menteri,” jelasnya.

Tiga belas peruntukan kuasa diturunkan kerajaan pusat kepada Sarawak ialah:

  1. Pegawai Undang-Undang Negeri hendaklah diberi kuasa oleh Pendakwa Raya di bawah Kanun Tatacara Jenayah untuk pendakwaan bagi kesalahan di bawah peraturan-peraturan negeri dari peringkat seseorang dituduh di mahkamah rendah sehingga peringkat rayuan.
  2. Bagi penurunan kuasa kepada pegawai-pegawai kerajaan mewakili Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) dalam pelantikan pegawai-pegawai ke Perkhidmatan Awam Persekutuan termasuk perkhidmatan pengajaran dan perubatan.
  3. Jawatan di Jabatan Imigresen Sarawak akan diperkukuh bagi meningkatkan fungsi penguatkuasaan dalam Negeri dengan menambah sebanyak 100 jawatan baru dengan kekosongan itu akan dipenuhi penghujung Februari 2016,” jelasnya.
  4. Nisbah guru kelahiran Sarawak berkhidmat di negeri ini akan ditingkatkan kepada 90 peratus dalam kalangan guru tempatan menjelang 2018.
  5. Kuasa warden trafik untuk Pihak Berkuasa Tempatan Sarawak akan diberikan kepada Majlis Bandaraya Miri, selain Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).
  6. Kerajaan Negeri akan diberunding  terlebih dahulu sebelum permohonan Permit Perikanan Laut Dalam dikemukakan kepada Jawatankuasa Penilaian Permit Laut Dalam untuk dipertimbangkan.
  7. Kerajaan Negeri akan dirundingi dalam merangka perundangan Persekutuan yang memberi kesan kepada Kerajaan Negeri Sarawak.
  8. Perancangan projek-projek pembangunan persekutuan di negeri Sarawak akan diberi keutamaan kepada Pelan Pembangunan Negeri Sarawak Lima Tahun berdasarkan bajet yang diluluskan.
  9. Kementerian yang bertanggungjawab akan mengambil langkah-langkah perlu untuk meningkatkan jumlah kemasukan pelajar daripada kalangan rakyat Sarawak ke dalam program ijazah sarjana muda perubatan di universiti awam.
  10. Bidang yang boleh diturunkan kuasa akan dikenalpasti oleh Ketua Pengarah di bawah Seksyen 49 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kepada pegawai Negeri /jabatan.
  1. Pembangunan projek-projek perumahan di Sarawak yang akan dilaksanakan semula melalui Mesyuarat Jawatankuasa Bersama. Ini untuk memastikan agensi-agensi kerajaan negeri terlibat sepenuhnya dalam perancangan, pelaksanaan dan pemantauan aspek projek-projek di Negeri Sarawak.
  2. Pembangunan sukan di negeri Sarawak diuruskan bersama-sama dengan kerajaan negeri dan Kementerian Belia dan Sukan sedang dalam proses meningkatkan Akta Pembangunan Sukan 1997 yang dijangka siap pada akhir 2016.

13. Kerajaan Negeri akan menjalankan semua fungsi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.Semua jawatan akan dipindahkan kepada Perkhidmatan Awam Negeri dan Kerajaan Persekutuan akan menyumbang 50 peratus daripada kos yang ditanggung seperti yang diputuskan oleh Majlis Kewangan Negara.