KUCHING: Kejayaan proses rundingan kuasa autonomi di antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem disambut baik banyak pihak.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau yakin 13 kuasa yang diturunkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Sarawak akan melahirkan keputusan yang positif kepada kedua-dua pihak.

Menurutnya, penurunan kuasa ini bukan bermakna kuasa yang ada pada Kerajaan Pusat lenyap begitu sahaja sebaliknya ia akan memperkasakan lagi sistem penguatkuasaan yang sedia ada.

” Kita masih menguatkuasakan perundangan yang sama, cuma kerajaan negeri diberi tanggungjawab bagi membolehkan mereka melaksanakan urusan penguatkuasaan yang sama,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, dekat sini pagi tadi.

Beliau sebelum itu hadir pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan kepada 50 penerima dari Parlimen Santubong. Pada majlis yang sama, beliau turut menyampaikan sumbangan bernilai RM82 ribu kepada Masjid Nuriri Rahmani di Kampung Santubong.

Wan Junaidi berkata, pegawai-pegawai kerajaan negeri tentunya lebih arif tentang keadaan negeri ini dan perundangan setempatnya, berbanding pegawai pusat.

” Jadi ia akan lebih memudahkan apabila melibatkan urusan penguatkuasaan,” katanya.

Katanya, berkaitan penurunan kuasa ini, beliau turut mengharapkan penglibatan anak-anak Sarawak dalam perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik diperbanyakkan.

” Ini penting untuk membukakan pandangan dan skop pemikiran golongan pentadbir ini agar lebih cekap dan berwibawa,” katanya. – Sarawak Voice