SAMARAHAN: ” Serahkan kepada kami!” itu rayu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim kepada pasangan-pasangan yang terlanjur, hingga melahir dan ingin membuang anak yang dikandung.

Menurutnya, bayi-bayi yang tidak berdosa itu tidak sewajarnya menjadi korban “keseronokan” ibu bapanya.

” Biar kami selamatkan bayi ini. Kami akan jaga dengan penuh kasih sayang di pusat yang lengkap dengan prasarana dan penjaga,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengistiharan Rumah Kanak-Kanak Toh Puan Hajah Norkiah di Kuching hari ini.

Turut hadir ialah mantan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abang Salahuddin Abang Barieng dan isteri, Toh Puan Hajah Norkiah.

Jelas Rohani, kajian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati, kes pembuangan bayi akan meningkat pada setiap kali selepas sambutan Hari Kekasih, akibat perbuatan terlanjur pasangan kekasih terutama remaja.

Katanya, pada setiap tahun, rumah jagaan berkenaan akan menerima pertambahan penghuni dalam kalangan bayi yang dibuang kira-kira 300 orang pada setiap kali selepas sambutan hari berkenaan.

” Ini realiti yang harus kita hadapi. Oleh itu, saya rayu kepada ibu-ibu muda ini, jika terjadi kes melahirkan anak luar nikah, jangan sesekali terfikir untuk membuang insan istimewa ini.

” Sebaliknya serahkanlah mereka ke Rumah Kanak-Kanak yang boleh memberi perlindungan kepada bayi-bayi ini,” katanya.

Sehingga kini, kata Rohani, sebanyak 13 Rumah Kanak-Kanak telah dibangunkan di seluruh negara yang mampu menampung 1,500 orang dalam satu-satu masa.

Kesemua Rumah Kanak-Kanak ini dijaga dan dikawal selia oleh JKM, dan mempunyai pengasuh sepenuh masa.