SUPP, DAP atau UPP: Dilema pengundi Cina di Sarawak

Pengundi Cina dilihat berada di antara dua persimpangan siapakah yang harus diundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 akan datang. Ini terutamanya tiada mana-mana pemimpin mahupun parti yang secara jelas lebih menonjol seperti Tan Sri Datuk Patinggi Haji Adenan Satem berbanding lawan masing-masing.

Sukar untuk menafikan Tan Sri Adenan Satem telah melakukan sesuatu untuk Sarawak sejak ambil alih jawatan Ketua Menteri Sarawak pada 28 Februari 2014. Baru-baru ini, dalam suatu majlis pemansuhan kutipan tol Jambatan Tun Abang Mohammad Salahuddin di Kuching, beliau mengulangi seruan untuk memberikan beliau mandat lima tahun sahaja lagi untuk membangunkan Sarawak.

Pengundi Cina Kesuntukan Masa

Pesaraan mantan Ketua Menteri Sarawak (1981 – 2014), Tun Haji Abdul Taib Mahmud sudah pasti memainkan peranan yang amat signifikan dalam perkiraan siapakah yang harus dipilih terutamanya dalam kalangan yang mengundi pada PRN lepas untuk melihat perubahan. Memandangkan PRN Sarawak kian dekat, pengundi Cina nampak semakin kesuntukan masa untuk mencari jawapan kepada persoalan besar dalam sanubari masing-masing apakah mereka ingin usahakan sesuatu dengan perubahan yang mereka telah berjaya bawa atau terus mengubah lagi apa yang sedia ada kini (hasil daripada usaha sebelum ini).

SUPP sekali lagi dijangkakan berhadapan persaingan sengit daripada DAP untuk meraih undi pengundi Cina. daripada akar umbi menerusi gerakan-gerakan seperti S4S yang mendesak pengundi Sarawak memulau parti-parti dari Semenanjung Malaysia sudah pastinya memberi tekanan kepada DAP mahupun PKR. Berdasarkan perkembangan semasa kerjasama DAP dengan PAS di peringkat nasional, mungkin sukar melihat pengundi Cina mengundi calon PAS di Sarawak.

Keputusan PRN dan PRU yang lepas di Sarawak menunjukkan kerusi majoriti Cina sentiasa bertukar tangan antara SUPP dengan DAP.

Kisahnya sentiasa dalam kalangan kedua-dua parti berkenaan,  tetapi dengan penambahan parti dan pengundi baharu (atau ‘pengundi pertama kali’) sudah pasti senarionya akan berbeza sedikit.

Keuntungan kepada Rakyat

Ini bukan sama sekali persoalan hegemoni politik tetapi keuntungan kepada rakyat kerana perubahan yang telah berlaku. SUPP misalnya, telah melalui suatu transformasi baharu yang menyaksikan kini diterajui oleh kepemimpinan baharu. Sengketa dalaman parti berkenaan yang menjadi punca utama masalah memperoleh kepercayaan daripada rakyat telah berjaya diatasi apabila kumpulan yang berseteru keluar membentuk parti baharu. Cabaran paling utama di sini lebih kepada keyakinan daripada pengundi bahawa calon-calon baharu parti berkenaan boleh berkhidmat mewakili suara-suara mereka.

PBB dalam BN dijangkakan tiada sebarang masalah memenangi semua kerusi yang ditandingi mereka. Ditambah dengan kerusi baharu yang diperuntukkan kepada mereka bersama-sama dengan PRS dan SPDP, BN hampir pasti akan terus membentuk kerajaan negeri seterusnya.

Ini sebenarnya juga menjadi suatu dilema kepada pengundi Cina sama ada mahu pilih wakil rakyat yang akan bersama-sama dalam barisan kabinet negeri baharu kelak untuk terlibat bersama menggubal polisi dan melaksanakan pembangunan untuk kesejahteraan penduduk Sarawak secara umumnya atau terus berada di luar dengan peranan sebagai pemerhati untuk menyemak dan mengimbangi kerajaan memerintah.

Semestinya ada pengundi yang akan merasakan ini akan menjadi suatu kerugian besar terutamanya dalam kalangan mereka yang merasakan sudah tiba masanya dapat memperoleh manfaat daripada apa yang telah diperjuangkan sebelum ini.  Rakyat pun sedar sebarang peruntukan di mana-mana negara pun ada hadnya dan sudah pasti mereka mengharapkan merekalah antara penerima sebahagian daripada faedah tersebut daripada melihat sahaja orang lain menikmatinya.

Justeru, adakah mungkin pengundi Cina dalam PRN Sarawak ke-11 ini akan memberi peluang kepada SUPP dengan membiarkan DAP bersuara dari luar Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk lima tahun akan datang merupakan sesuatu yang menarik untuk dinantikan jawapannya.