Penyingkiran Mukhriz boleh tumbangkan BN Kedah

Tidak seperti hari-hari sebelumnya yang basah dan lembab, bahang matahari petang pada 20 Januari 2016, di Kuala Lumpur agak panas dan hangat. Kepanasan itu menjadi semakin dirasakan apabila media sosial seperti whatapps, facebook dan twitter memecahkan berita mengenai pergolakan politik terbaharu yang melanda UMNO negeri Kedah.

Mengikut laporan tersebut, 14 daripada 15 Ketua UMNO Bahagian (KUB) di Kedah mahu Menteri Besarnya, iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir dipecat. Antara sebab diberikan antaranya ialah hilang kepercayaan terhadap Mukhriz, Mukhriz bukan setakat tidak menyokong Perdana Menteri bahkan mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan rakyat, tidak menggerakkan jentera pilihan raya dan tidak boleh memimpin.

Perkembangan ini agak menarik pada sebelah paginya 20 Januari 2016, Tun Mahathir mengeluarkan kenyataan beliau berazam untuk terus mendesak Datuk Seri Najib Razak berundur daripada jawatan Perdana Menteri Malaysia. Tiba-tiba pada sebelah petang, anak beliau sendiri diminta melepaskan jawatan sebagai Menteri besar.

Keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, BN berjaya menang sebanyak 21 kerusi daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Semasa PRU ke-12, Kedah pertama kali diperintah oleh PAS apabila mereka berjaya menang sebanyak 22 kerusi DUN. BN hanya menang 14 kerusi sehaja semasa itu.

Penganalisis politik berpendapat bahawa antara faktor utama kegagalan PAS mempertahankan negeri Kedah adalah kerana perbalahan dalaman antara Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Razak dengan beberapa pemimpin kanan PAS peringkat negeri. Krisis yang tiada penghujungnya yang dialami oleh kerajaan PAS Kedah menyebabkan pengundi hilang keyakinan terhdap PAS.

Apabila BN meletakkan Mukhriz bertanding di kerusi DUN (pertama kali bertanding kerusi parlimen semasa PRU 12) dan disebut sebagai bakal Menteri Besar yang baharu, didapati ayunan undi berlaku di Kedah semasa PRU ke-13.

Bilangan kerusi BN bertambah kepada 21 kerusi daripada 14 kerusi DUN dalam PRU sebelumnya. Undi popular kepada BN juga meningkat khasnya dalam kalangan pengundi Melayu, iaitu  daripada 48.7 peratus kepada 54.3 peratus. Perkara ini jelas menunjukkan pengundi menolak parti yang suka bergaduh, bertelagah dan bergelut sesama sendiri.

Adakah UMNO mahu mengulangi kesilapan PAS Kedah? Adakah Muhkriz mahu dihukum kerana kesilapan bapanya? Apa akan berlaku sekiranya Mukhriz gagal dipecat?

Memecat seseorang Menteri Besar bukanlah suatu kerja mudah. Apatah lagi dalam kes Kedah di mana BN hanya memiliki 21 daripada 36 kerusi DUN. Untuk memecat Menteri Besar menerusi undi tidak percaya, UMNO/BN memerlukan sokongan majoriti sekurang-kurangnya 19 orang ADUN. Jangan lupa bahawa, daripada 21 ADUN BN, sepuluh orang telah dilantik oleh Mukhriz sebagai Exco dan speaker dewan. Sekiranya semua mereka menyokong Mukhriz, BN hanya ada 10 orang ADUN.

Adakah KUB fikir kurang pembangkang akan bersama dengan mereka (sebanyak 9 undi tambahan diperlukan) untuk menyingkirkan Mukhriz? Saya tidak fikir pembangkang akan berbuat demikian. Sebabnya selagi lama krisis BN berlaku di negeri Kedah,  mereka berpotensi membentuk kerajaan baharu selepas PRU 14 nanti.

Situasi di Kedah berbeza dengan krisis penukaran Menteri Besar Selangor pada tahun 2014. Pakatan Rakyat mempunyai bilangan kerusi DUN melebihi dua pertiga majoriti (47 daripada 56 kerusi). Apabila Dr Wan Azizah menang pilihan raya kecil DUN Kajang, yang diadakan pada September 2014, dan membuktikan beliau mempunyai majoriti sokong daripada ADUN,  Menteri Besar ketika itu, iaitu Khalid Ibrahim tidak mempunyai banyak pilihan. Beliau terpaksa berundur secara terhormat.

Apa yang pasti,  krisis terbaru di Kedah ini sudah pasti menambahkan satu lagi beban politik kepada Perdana Menteri. Perdana Menteri hanya boleh memberi nasihat terhadap Mukhriz, tetapi tidak berkuasa untuk membuatkan Mukhriz melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar.

Dan sekiranya krisis  ini berakhir tanpa penyelesaian tuntas hingga kepada PRU 14, Datuk Seri Najib akan dilihat mengalami nasib yang sama dengan Hj. Abdul Hadi Awang semasa krisis PAS sebelum ini. Beliau dilihat sebagai lemah dan tidak berdaya menyelesaikan kerenah yang ditimbulkan oleh anak-anak buah mereka sendiri.

Setakat ini terdapat tiga nama yang disebut-sebut sebagai calon yang bakal menggantikan Mukhriz sebagai Menteri Besar yang baharu. Antaranya ialah ADUN Bakar Bata, iaitu Senator Ahmad Bashah Md Hanipah, ADUN Bukit Lada, iaitu Ahmad Lebai Sudin, dan ADUN Bukit Kayu Hitam, iaitu Ahmad Zaini Lapar. Siapakah antara mereka ini akan dapat menduduki kerusi Menteri Besar Kedah?

Dalam pada negara kita,  dengan pelbagai masalah ekonomi seperti kos sara hidup, perdebatan mengenai perjanjian Trans-Pasifik (TPPA), kejatuhan harga petroleum dan kejatuhan nilai ringgit, kejatuhan nilai saham di bursa-bursa utama di Asia dan Eropah yang seakan-akan menunjukkan ekonomi dunia berhadapan dengan krisis ekonomi baharu. Dalam keadaan sedemikian, saya fikir perkara terakhir yang rakyat mahukan ialah pertelagahan sesama ahli politik.

Pemimpin sepatutnya menyelami masalah rakyat, menggunakan kuasa untuk memaksimumkan kesejahteraan rakyat dan bukan menjadi taasub kepada ‘populism’ atau dasar mementingkan kepopularan semata-mata. Dalam berpolitik, akar budaya tidak boleh diketepikan sama sekali. Bukankah budaya kita ada menganjurkan supaya dalam menyelesaikan konflik, sikap halus dan cermat perlu diutamakan seperti kata bidalan ‘umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak’.

Jika krisis di Kedah tidak diharmonikan dan disejukkan kembali menjelang PRU ke-14 nanti, landskap politik Kedah sudah pasti akan mengalami peralihan kuasa daripada BN kepada pembangkang. – Sarawak Voice