Dalam pilihan raya negeri 2011,  sebanyak 73 peratus daripada 980,000 pengundi berdaftar telah turun mengundi.   Daripada jumlah tersebut, BN berjaya meraih 55.36 peratus undi, manakala parti pembangkang dan  calon Bebas memperoleh 44.64 peratus undi.

             Bagaimanakah  sokongan rakyat terhadap BN terhadap BN dalam pilihan raya ke-11 nanti? Adakah akan mengukuh atau merosot?  Dengan sokongan terhadap Ketua Menteri yang semakin kuat, ekoran 50 langkah positif yang telah dilaksanakan, dijangka undi popular  akan mengukuh. Rakyat tanpa mengira kaum dan kawasan kelihatannya memberi respons positif terhadap langkah yang diambil oleh beliau. Imej dan reputasi beliau sebagai Ketua Menteri yang tegas, berani, dan memperjuangkan kepentingan rakyat Sarawak, mendapat sokongan daripada mereka.

             Majoriti daripada 1.1 juta pengundi  yakin bahawa kepemimpinan negeri akan terus kekal di tangan BN.

Hanya sekitar 30 peratus menyatakan Pakatan Harapan wajar mentadbir negeri selepas pilihan raya itu.  Meskipun pengundi sering mengkritik kerajaan, tetapi apabila tiba pilihan raya, mereka tetap akan mengundi BN. Ini merupakan fenomena biasa yang dikesan dalam pilihan raya yang lepas-lepas.

              Jumlah peratusan yang tinggi yang diberi kepada BN sekali gus mencerminkan tahap keyakinan mereka terhadap keupayaan BN untuk memenangi jumlah kerusi majoriti dalam pilihan raya nanti.   Persepsi sedemikian  berpunca daripada  tanggapan mereka terhadap pencapaian parti politik komponen BN.  Daripada semua parti politik di Sarawak,  sebanyak 31.72 peratus menyatakan  bahawa PBB mempunyai rekod prestasi baik dalam perkhidmatan kepada masyarakat di kawasan responden.

               PBB dan PRS  dijangka tidak akan berdepan dengan masalah untuk mempertahankan kerusi yang ditandinginya  dalam pilihan raya yang akan datang.  Parti yang diwakili oleh SPDP terutamanya di  Ba Kelalan dan Krian perlu diberikan perhatian serius dengan menampilkan calon yang betul-betul sesuai dengan kehendak pengundi akar umbi.

          Sokongan terhadap DAP masih lagi kuat di kerusi bandar meskipun dijangka populariti Ketua Menteri dalam kalangan pengundi Cina, ekoran langkah dan kenyataan beliau , termasuk menghulurkan bantuan RM12 juta kepada sekolah Cina, disambut baik oleh mereka meskipun peratusan  ayunan sebenar hanya dapat diketahui dengan jelas sebulan dua sebelum pilihan raya diadakan.  

               Apakah perkara yang akan menyebabkan pemimpin parti politik kurang mendapat sokongan?  Daripada kajian didapati perselisihan dalam parti  sebagai perkara utama. Hal ini  merujuk kepada pergolakan dalaman  SUPP, UPP, SPDP-Teras.   Adakah masalah ini menguntungkan DAP?

             Perselisihan dan pergolakan yang telah berlarutan sekian lama telah menyebabkan pengundi muak. Sebanyak 40 peratus beranggapan bahawa faktor berkenaan sebagai perkara paling penting yang menyebabkan parti politik kurang mendapat sokongan.  Bagaimana isu ini ditangani oleh Ketua Menteri banyak mempengaruhi keputusan di kerusi majoriti pengundi Cina nanti.  Sebelumnya ini, pertelagahan dalaman SUPP, imejnya yang buruk, janji kosong melalui manifesto, peruntukan  kecil untuk sekolah Cina dan masalah tadbir urus negeri  serta kepemimpinan Ketua Menteri, menjadi isu yang menyebabkan masyarakat Cina menolak BN.  

          Dijangka, meskipun Ketua Menteri mendapat respons yang positif, namun, ia tidak banyak diterjemahkan ke dalam bentuk undi kerana pengundi Cina masih mahu kewujudan DAP dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memainkan peranan semak dan imbang. Keadaan ini dimungkinkan lagi oleh masalah SUPP-UPP yang belum selesai yang memungkinkannya berlaku sabotaj jika calon daripada mana-mana parti terbabit ditampilkan.

           Pengundi Cina, antara lain mahu ‘kesaksamaan dan keadilan’ layanan dari segi mendapat peluang pekerjaan di sektor awam, dalam mendapatkan kontrak, permit dan lesen, selain  membabitkan soal pendidkikan.

              Dalam konteks pergolakan sekarang, isu membabitkan SUPP-UPP adalah lebih ketara berbanding SPDP-Teras. Kedua-dua parti terbabit bersaing sesama sendiri dalam usaha mendapatkan pengaruh dan menonjolkan dirinya. Media tempatan, terutama akhbar Cina dan The Borneo Post, sebelum ini hampir setiap hari mengeluarkan kenyataan dan percakaran pemimpin  SUPP-UPP.

          Mereka saling membalas kenyataan dan mengkritik sehingga memberi gambaran dan reputasi buruk kepada parti terbabit meskipun kebelakangan ini pemimpin SUPP kelihatan bertahan dengan tidak membalas kenyataan pemimpin UPP.  

             Perkara yang bakal mempengaruhi pola pengundian  dalam pilihan raya negeri akan datang, antara lain, ialah  kepemimpinan negeri yang baharu, keyakinan kepada dan dasar kerajaan negeri yang meyakinkan terutamanya dalam memperjuangkan keentingan dan hak rakyat Sarawak. – Sarawak Voice