KPN jamin PRN Sarawak lancar

Kuching: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini memberi jaminan bahawa Pilihanraya Negeri Sarawak Ke-11 akan berlangsung lancar, aman, dan bebas ancaman.

Menurutnya, pihak polis, terutamanya Kontijen Sarawak telah mengambil beberapa tindakan proaktif bagi memastikan keadaan ini berlaku.

” Segala persediaan telah kita rancang dan lakukan. Malah kita telah mengatur persediaan lojistik bagi memastikan pergerakan anggota tidak terbatas, ” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Polis Kontijen Sarawak, petang Khamis.

Jelasnya, bagi memantapkan keanggotaan, pihaknya akan menyediakan pasukan sokongan, yang diturunkan dari Sabah dan sedikit dari Semenanjung.

” Ini sesuatu yang perlu memandangkan terdapat lebih 2700 saluran (mengundi) di sini, sambil pada masa yang sama, tugas-tugas rutin kawalan dan keselamatan yang lain tidak boleh berkurang,” katanya.

Berkaitan ancaman militan yang dikatakan cuba menyusup masuk ke negeri ini, Khalid memberi keyakinan bahawa pasukannya sentiasa memantau rapi perkembangan ini.

” Ancaman ini benar. Kita perlu berjaga-jaga. Malah saya telah meletakkan seluruh pasukan saya dalam keadaan berwaspada manakala semua unit ATM (Angkatan Tentera Malaysia) turut dalam keadaan siap siaga,” tegasnya.

Pada masa yang sama, katanya, Bahagian Counter Terrorist, Cawangan Khas PDRM secara proaktif telah melancarkan beberapa serbuan dan tangkapan bagi menangani elemen-elemen keganasan ini.

Terdahulu di majlis berlainan, Tan Sri Khalid menyempurnakan pemakaian pingat Kedaulatan Negara kepada 265 pegawai dan anggota polis Kontijen Sarawak yang telah berkhidmat cemerlang semasa Op Daulat berlangsung.

” Antara kejayaan mereka yang amat saya banggakan ialah berjaya membunuh 18 pengganas Sulu dalam satu pertempuran sengit di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

” Kerana itu, saya sendiri hadir untuk menyematkan pingat ini sebagai tanda terima kasih dan penghargaan saya,” katanya.

Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Muhamad Fuzi Harun dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Abdul Aziz Yusuf.