Nasib UMNO, PAS selepas PRU-14

Spekulasi kerjasama UMNO dan PAS sudah terjawab baru-baru ini. Majlis Syura PAS, mengeluarkan kenyataan akhbar selepas mesyuarat mereka yang berbunyi: tiada kerjasama politik atau tahaluf syiasi dengan UMNO/BN.

Sikap PAS tersebut telah diduga banyak pihak. Kajian tinjauan pendapat terhadap 141 orang responden yang dijalankan oleh penulis pada bulan Oktober 2015 menunjukkan 53 peratus pengundi tidak percaya bahawa PAS akan bergabung dengan UMNO/BN. Sebanyak 30 peratus lagi menyatakan ‘tidak pasti’ dan hanya 16.3 peratus menyatakan yang PAS dan UMNO/BN boleh bergabung.

Sebagai sebuah parti politik, PAS sentiasa mengambil kira konteks ‘realpolitik ’. Realpolitik merujuk kepada yang praktikal atau kedudukan politik sebenar, dengan mengambil kira persekitaran strategik mengatasi perkiraan prinsip, moral dan etika.

Tolak Pelawaan UMNO

Kenapa dari segi realpolitik, PAS wajar menolak pelawaan UMNO untuk bersatu? Kita harus ingat bahawa kekuatan sebenar PAS hanyalah di tiga buah negeri sahaja, iaitu Kelantan, Kedah dan Terengganu. Pengalaman PAS dalam beberapa Pilihan Raya Umum (PRU), khususnya semasa PRU ke- 10 dan PRU ke-12 membuktikan PAS mampu berkuasa di negeri-negeri tersebut tanpa bantuan UMNO /BN. Bahkan jika kerjasama dengan UMNO/BN, PAS tidak akan menjadi pemerintah yang dominan di negeri-negeri tersebut kerana UMNO/BN juga mempunyai kubu mereka di sana.

PAS mempunyai pengalaman perit bersama UMNO pada tahun 1978 sehingga penguasaan mereka di Kelantan terlepas kepada UMNO. Sudah tentu PAS tidak mahu melepaskan ‘mutiara di persada takhta’, iaitu Negeri Kelantan yang dikuasainya semenjak PRU ke-8 kembali terlepas kepada UMNO semata-mata atas kepentingan memenuhi undangan untuk bertahaluf siaysi daripada UMNO.

Dalam situasi sekarang  ketika Pakatan Rakyat telah ditinggalkan oleh DAP dan PAS tidak ikut serta sebagai anggota Pakatan Harapan, sikap PAS yang menolak bertahaluf syiasi dengan UMNO mengundang banyak persoalan tentang apa bakal berlaku dalam PRU ke-14 nanti. Adakah PAS akan bersendirian melawan BN dan Pakatan Harapan sekali gus di kerusi yang mereka pernah tandingi? Jika perkara ini berlaku, bukankah tindakan tersebut akan menyebabkan kemenangan percuma kepada BN?

Atau adakah akan ada ‘pakatan elektoral’ di mana kerjasama dicapai antara parti pembangkang supaya tidak berlaku persaingan tiga penjuru antara PAS, Pakatan Harapan dan BN? Kebarangkalian ‘pakatan elektoral’ berjaya dicapai kelihatan agak tinggi berikutan peranan Azmin Ali, iaitu Menteri Besar Selangor yang terhutang budi dengan PAS dalam menjawat jawatan Menteri Besar Selangor.

Percaturan Politik PKR

Sebagai pemimpin yang mencatur politik sebenar PKR, Azmin Ali sudah tentu tidak mahu kerusi Menteri Besar Selangor yang baru sahaja diperolehinya terlepas kepada BN. Pastinya beliau akan cuba berusaha supaya ‘pakatan elektoral’ berjaya dicapai.

Bagaimana dengan tuntutan kerusi Parti Amanah Nasional (PAN)? Kerusi parti pembangkang manakah yang akan dikorbankan untuk memberi laluan kepada PAN? PAN ialah sebuah parti baharu serpihan parti PAS yang baru sahaja ditubuhkan pada September 2015 dan kini diterima sebagai salah satu anggota Pakatan Harapan?

PAN yang dipimpin mantan Timbalan Presiden PAS, Hj Mat Sabu bukanlah parti yang kuat. Bahkan parti itu boleh diibaratkan sebagai ada pemimpin, tetapi tiada pengikut peringkat akar umbi. Kajian lapangan yang saya lakukan di Selangor pada bulan Oktober 2015 menunjukkan, PAN hampir tidak ada ahli langsung di peringkat akar umbi di beberapa kawasan DUN yang dilawati. Oleh itu, menyerahkan kerusi kepada PAN, bermakna pembangkang seolah-olah sengaja menyerahkan kerusi berkenaan kepada Barisan Nasional!

Perkara ini sudah tentu disedari pemimpin parti-parti pembangkang. Oleh yang demikian, kerusi-kerusi parlimen atau Dun yang akan diberikan kepada PAN saya fikir sedikit sekali. Dan jika Azmin Ali mahu memastikan PKR tidak bermasalah dengan PAS, tidak hairan nanti bahawa PAN tidak akan diberi walau satu kerusi Dun pun  di Negeri Selangor!

Laluan kepada PAN untuk bertanding mungkin akan diberikan kepada mereka, tetapi di negeri yang pembangkang kalah, seperti di Perak dan Kedah, itu pun dengan bilangan kerusi parlimen dan Dun yang     amat sedikit. Kekalahan pembangkang di dua negeri itu tidak akan meninggalkan apa-apa kesan yang signifikan kepada parti pembangkang.

PAN tidak ubah senario

Bagaimana sekiranya PAN berkeras juga meletakkan calon-calon mereka (walaupun tidak dipersetujui oleh PKR) di Dun dan kerusi parlimen Selangor yang ditandingi oleh PAS? Kepada saya, tindakan PAN tidak akan mengubah apa-apa. Dengan kata lain, PAS akan tetap menang di kerusi Dun atau Parlimen yang mereka menang semasa PRU ke 13 yang lalu. Sebagai parti yang baharu, PAN tidak ubah seperti calon bebas yang tidak meninggalkan apa-apa kesan kepada parti-parti utama seperti PAS atau UMNO.

Saya mengatakan sedemikian kerana tahap sokongan terhadap PAS, khususnya di Selangor didapati masih tinggi. Kepada pengundi di kawasan bandar dan separa bandar, isu-isu nasional seperti kos sara hidup, kenaikan harga barang, kenaikan kadar tol, kenaikan tambang pengangkutan dan isu-isu tadbir urus seperti skandal 1MDB, pelaksanaan GST menjadi perhatian dan pertimbangan utama semasa mereka membuat keputusan mengundi.

Kemarahan terhadap kerajaan pusat kerana gagal menyelesaikan isu-isu nasional yang berlarutan semenjak PRU ke 12 lazimnya akan dilepaskan dengan mengundi parti pembangkang sepertimana dalam PRU ke-12 dan ke- 13 yang lalu. PAS dan parti pembangkang juga sedar akan perkara ini, di mana mereka bukan diundi kerana mempunyai program atau pelan untuk kesejahteraan pengundi bandar, sebaliknya kerana pengundi bandar tidak dapat menerima polisi dan perilaku pemimpin BN.

Dengan senario tersebut saya fikir tidak banyak perubahan akan berlaku dalam PRU ke-14. Pada peringkat nasional, sama ada PAS menyertai UMNO/BN atau tidak, UMNO/BN akan terus kekal berkuasa dan menang dengan banyak kerusi parlimen di luar bandar. Sementara di kawasan bandar dan separa bandar pula, undi akan diberikan kepada pembangkang seperti PKR, DAP dan PAS.