KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad memfailkan permohonan untuk membatalkan sepina yang diperoleh Ketua Umno Sungai Besar Jamal Md Yunos dalam satu kes saman di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, yang mewakili Dr Mahathir, berkata Dr Mahathir memfailkan notis permohonan untuk membatalkan sepina itu pada 19 Disember tahun lepas.
“15 Januari ditetapkan untuk pengurusan kes,” katanya kepada pemberita selepas sebutan kes itu di dalam kamar Hakim Mohd Zaki Abdul Wahab hari ini, yang turut dihadiri peguam V. Mugunthan yang mewakili Jamal.
Jamal mengemukakan sepina itu supaya Dr Mahathir menjadi saksi dalam perbicaraan kes saman fitnah yang difailkan aktivis Maria Chin Abdullah terhadapnya atas dakwaan mengaitkan Bersih 2.0 dengan kumpulan pengganas Islamic State (IS).
Dr Mahathir yang juga pengerusi Bersatu memohon perintah mahkamah untuk membatalkan sepina bertarikh 28 September tahun lepas yang diperoleh defendan (Jamal) atas alasan beliau tidak mempunyai pengetahuan khusus berhubung isu berbangkit di dalam kes saman berkenaan.
Dalam permohonannya, Dr Mahathir turut mendakwa sepina yang diperoleh defendan telah menyalahgunakan proses mahkamah dan berniat jahat terhadapnya dengan bertujuan untuk mereka-reka gimik politik defendan berhubung dengan perbicaraan kes saman tersebut.
Pada 14 November tahun lepas, mahkamah membenarkan permohonan Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun untuk membatalkan sepina yang diperoleh Jamal dalam kes yang sama.
Mahkamah membenarkan permohonan itu atas alasan Fuzi, yang ketika itu merupakan pengarah Cawangan Khas, tidak mempunyai pengetahuan berhubung penahanan Maria mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Pada 7 Oktober 2016, Maria yang juga pengerusi Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menyaman Jamal yang merupakan Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu dan Gerakan Merah Malaysia (GMM) selaku defendan.
Dalam pernyataan tuntutan itu, Maria, 61, selaku plaintif mendakwa pada 28 September 2016, Jamal mengeluarkan kata-kata fitnah dalam satu sidang media di perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra dan diterbitkan serta disiarkan di beberapa portal berita, media cetak nasional dan media elektronik.
Plaintif juga mendakwa pada 4 Oktober 2016, Jamal sekali lagi mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya di perkarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan telah diterbitkan pada 5 Oktober tahun sama di portal berita, media cetak nasional dan media elektronik. – Bernama