KUCHING: Polis Sarawak mengenal pasti 17 kawasan kerap kemalangan di negeri ini, yang lazim mengundang kemalangan maut dan parah.
Pesuruhjaya Polis Negeri, Datuk Mazlan Mansor berkata, laluan ini terletak di tujuh daerah, bermula dari Bau hingga ke Lawas.
“Di Jalan Bau – Lundu, kawasan blackspot yang dikenal pasti adalah di Kilometer 2 dan Kilometer 9.
“Manakala di Jalan Datuk Mohammed Musa di Samarahan, lokasi berbahaya ini terletak di Kilometer 1, 6, 11 dan 16,” katanya ketika melancarkan Op Selamat 11 sempena sambutan Aidilfitri di Kuching Sentral di sini.
Op Selamat itu bermula Ahad, 18 Jun hingga 2 Julai depan, dengan mengekalkan tema “Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi.”
Jelas Mazlan lagi, kawasan blackspot lain termasuklah Kilometer 65, Jalan Sri Aman-Kuching dan Kilometer 20, 35 53 serta 56 Jalan Sri Aman – Sarikei.
“Turut disenarai laluan bahaya ialah Kilometer 431, Jalan Betong – Sarikei -Maradong.
“Laluan di Kilometer 71,79 dan 114 Jalan Sibu-Bintulu turut berbahaya, selain Kilometer 1, Jalan Lawas -Trusan dan Kilometer 4 Jalan Lawas -Merapok,” tambahnya.
Katanya, sepanjang 1 Januari hingga 15 Jun tahun ini, sebanyak 177 kematian telah dicatatkan di seluruh negeri, manakala 128 lagi parah dan 189 cedera ringan.
“Jumlah kematian ini agak menurun berbanding 201 kematian yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lalu, 114 parah dan 116 cedera ringan.
Sepanjang Op Selamat tahun lalu katanya, sejumlah 724 kemalangan telah direkodkan dengan 15 kes merupakan kemalangan maut, dengan 15 kematian.
“Pada tahun 2015, sejumlah 765 kes dicatatkan, melibatkan 19 kematian dalam 15 kes kemalangan maut,” jelasnya lagi.
Sehubungan itu katanya, pihaknya tidak akan bertolak ansur dari aspek penguatkuasaan trafik pada kali ini dan berganding bahu lebih akrab dengan lapan jabatan dan agensi lain dalam Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT) dalam menghadapi sebarang bentuk kemalangan
“Tetapi yang paling penting adalah pengguna lalu lintas sendiri yang perlu mematuhi peraturan yang sedia ada, bersedia untuk pemandu jauh, rehat secukupnya, berhenti jika letih dan yang paling utama, memeriksa keadaan kenderaan sebelum memulakan perjalanan,” nasihatnya lagi. – Sarawakvoice
____
Fakta
Kawasan Blackspot Kerap Kemalangan
Kilometer 2, Jalau Bau – Lundu
Kilometer 9, Jalau Bau – Lundu
Kilometer 1, Jalan Datuk Mohammed Musa
Kilometer 6, Jalan Datuk Mohammed Musa
Kilometer 11, Jalan Datuk Mohammed Musa
Kilometer 16, Jalan Datuk Mohammed Musa
Kilometer 65, Jalan Sri Aman-Kuching
Kilometer 20 Jalan Sri Aman – Sarikei
Kilometer 35 Jalan Sri Aman – Sarikei
Kilometer 53 Jalan Sri Aman – Sarikei
Kilometer 56 Jalan Sri Aman – Sarikei
Kilometer 431, Jalan Betong – Sarikei -Maradong
Kilometer 71 Jalan Sibu-Bintulu
Kilometer 79 Jalan Sibu-Bintulu
Kilometer 114 Jalan Sibu-Bintulu
Kilometer 1, Jalan Lawas -Trusan
Kilometer 4 Jalan Lawss – Merapok