BALINGIAN: Sebanyak 16 tukun tiruan penghalang pukat tunda berjaya dilabuhkan di perairan laut Kuala Balingian, di sini, semalam.
Tukun tiruan yang berada tujuh batu nautika dari kawasan Kuala Balingian itu bukan sahaja memberi manfaat kepada nelayan dalam meningkatkan ekonomi mereka, malah ia dapat mewujudkan kawasan habitat baharu ikan dan hidupan laut yang lain.
Timbalan Pengarah Perikanan Laut Sarawak Liza Long berkata, lebih 201,000 tukun tiruan yang dilabuhkan sejak tahun 1984 hingga 2022 di seluruh negeri.
“Di kawasan Mukah sahaja, dalam tempoh tersebut, kita sudah melabuhkan sebanyak 13,045 tukun tiruan terdiri daripada tujuh jenis tukun iaitu tayar, vesel, bebola, kuboid, rekreasi, rekreasi karang serta tukun tiruan penghalang pukat tunda.
“Manakala, pada tahun ini, kami mengenal pasti tujuh tapak projek untuk melabuhkan tukun tiruan melibatkan perairan di Sarawak,” katanya semasa berucap merasmikan Program Melabuh Tukun Tiruan Jenis Penghalang Pukat Tunda, Dewan Masyarakat Kampung Kuala Balingian, di sini.
Menurutnya, nelayan di Kuala Balingian proaktif memohon tukun tiruan untuk dilabuhkan di kawasan tersebut. “Kami mendengar luahan ini dan sebahagian daripada peruntukan yang kami terima adalah untuk memenuhi hasrat nelayan di sini.
“Dengan kos projek yang berjumlah RM479,538.80, kami berjaya menyediakan 16 tukun tiruan jenis penghalang pukat tunda untuk nelayan di kawasan ini.
“Diharapkan dengan adanya tukun ini, lebih banyak ikan di Kuala Balingian,” ujarnya.
Sehubungan itu, Jabatan Perikanan Laut sentiasa peka dengan isu semasa yang diterima daripada nelayan termasuklah pencerobohan nelayan.
Tegasnya, pihaknya dan Institut Penyelidikan Perikanan Bintawa (FRIBintawa) bersama pihak kementerian memandang serius untuk mengatasi masalah pencerobohan serta mengekalkan sumber perikanan yang lestari di seluruh Sarawak.