KUCHING: Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) merancang untuk melaksanakan 1,298 unit perumahan mampu milik di Sarawak yang bernilai RM192.08 juta bagi tempoh dua tahun akan datang.
Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) terdapat 862 unit rumah mampu milik dan Rumah Spektra Permata (RSP) yang diusahakan HDC siap.
Katanya, ia terdiri daripada 504 unit di Darul Hana 1A dan 2A; 122 unit RSP Bunga Rampai; 110 unit RSP Kemuyang; 26 unit RSP SPK Lundu; 25 unit RSP SPK Sematan; 10 unit RSP SPK Lingga; 22 unit RSP Igan; 20 unit RSP SPK Tian; tiga unit RMM Kampung Datu Baru dan 20 unit RSP SPK Majelin.
“Manakala, lima lagi projek RMK-12 sedang dijalankan melibatkan pembinaan 468 unit rumah mampu milik di Kuching, Betong, Miri dan Limbang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan DUN Sarawak, semalam.
Dedahnya, seperti yang dilaporkan pada November 2022 lalu, satu-satunya projek yang dibiayai persekutuan sedang berjalan adalah Program Perumahan Rakyat (PPR) Seduan – terdiri daripada 461 rumah teres satu tingkat dan dijadualkan siap pada Ogos tahun ini.
Projek tersebut juga dilaksanakan secara langsung oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Malaysia.
“Kementerian saya juga telah mengemukakan enam tapak PPR tambahan pada 21 Februari lalu untuk pertimbangan Kerajaan Persekutuan dan sedang menunggu kelulusannya.
Permintaan khusus ini juga telah diulangi dalam lawatan saya ke pejabat KPKT baru-baru ini,” ujarnya.
Timbalan Premier Sarawak itu juga memberitahu, sehingga kini, Skim Bantuan Sewa Kediaman Sarawak (SRAS) Jawatankuasa Pemilihan meluluskan 1,786 permohonan dari Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu melibatkan jumlah RM10 juta sejak ia diperkenalkan pada 2021.
Kui Hian berkata, Mutiara Mortgage & Credit Sdn. Bhd. (MUTIARA) telah menerima 713 permohonan yang 601 permohonan diluluskan.
Bagi inisiatif ini, RM10 juta telah diperuntukkan pada 2022 dan tambahan RM40 juta pada 2023 berjumlah RM5 juta.
“Untuk menangani masalah pembiayaan akhir yang menjejaskan golongan berpendapatan rendah (B40) dan golongan berpendapatan sederhana (M40) pembeli rumah, Kerajaan Sarawak melalui MUTIARA telah meluluskan 1,382 permohonan melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM83 juta.
“Sehingga kini, daripada permohonan yang diluluskan itu, sejumlah RM50 juta telah diagihkan kepada 1,003 pembeli rumah melibatkan faedah tahunan sebanyak 1 peratus untuk B40 dan 3 peratus untuk M40,” jelasnya.
Beliau menegaskan sejak 1978 hingga 2023, Skim Pinjaman Rumah Panjang di Sarawak telah memanfaatkan 1,048 orang yang terdiri daripada 23,038 pintu.
“Ini melibatkan peruntukan sebanyak RM431.28 juta terdiri daripada RM231.28 juta daripada Kerajaan Persekutuan dan RM200 juta daripada Kerajaan Sarawak.
“Sehingga kini, di bawah pembiayaan Kerajaan Sarawak, sejumlah RM139.08 juta telah diagihkan sekali gus memberi manfaat kepada 216 rumah panjang yang terdiri daripada 4,688 pintu.
“Pada 2023, 63 rumah panjang yang terdiri daripada 1,299 pintu telah diluluskan dan belum selesai pengeluaran.
Ketika ini juga, terdapat 261 rumah panjang yang terdiri daripada 5,150 pintu dalam senarai menunggu,” katanya.