1,131 pegawai, atlet seluruh Malaysia sertai PESAYA-14 Sarawak

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
RASMI... Abdul Karim (Dua dari kanan hadapan) melakukan simbolik perasmian PESAYA ke-14 di Stadium Perpaduan Petra Jaya.

KUCHING: Seramai 1,131 atlet dan pegawai menyertai Pesta Sukan Antara Yayasan Negeri se-Malaysia (PESAYA) Ke-14 yang berpusat di negeri Sarawak bermula semalam (10 Feb) sehingga 19 Februari 2023.

Acara bersempena sambutan 60 tahun hari kemerdekaan Sarawak merangkumi 13 wakil agensi Yayasan iaitu Yayasan Sabah, Yayasan Pahang, Yayasan Pelajaran Johor, Yayasan Perak, YAKIN, Yayasan Wilayah Persekutuan, Yayasan Terengganu, Yayasan Islam Negeri Kedah, Yayasan Melaka, Yayasan Selangor, Yayasan Islam Perlis, Yayasan Negeri Sembilan dan Yayasan Sarawak selaku tuan rumah.

Penganjuran kali kedua oleh Yayasan Sarawak itu dimulai dengan perasmian yang berlangsung secara meriah di Stadium Perpaduan, Petra Jaya bermula jam 8 malam dengan disertai kesemua wakil Yayasan masing-masing.

RASMI… Abdul Karim (Dua dari kanan hadapan) melakukan simbolik perasmian PESAYA ke-14 di Stadium Perpaduan Petra Jaya.

Acara dwi tahunan menampilkan sebanyak 14 jenis sukan akan dipertandingkan merangkumi bola sepak, badminton, bola baling, bola jaring, bola tampar, tenpin boling, dart, e-sukan, futsal, golf, karom, petanque, ping pong dan sepak takraw.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran PESAYA ke-14 diharap dapat memupuk semangat kekitaan serta mengeratkan hubungan para peserta dari seluruh Malaysia.

Jelasnya, tempoh 10 hari sepanjang temasya diadakan bertujuan membina intergrasi antara negeri-negeri di Malaysia menerusi temasya sukan yang dianjurkan di Sarawak.

“Tanamkan semangat kekitaan. Dalam acara pertandingan sukan bukan sahaja kita perlukan kemenangan, selain itu perkara yang penting adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian di Stadium Perpaduan Petra Jaya sekali gus merasmikan upacara terbabit pada Jumaat malam.

Karim yang juga merangkap Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan turut menggalakkan agar peserta kontinjen masing-masing tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi tempat menarik di sekitar Kuching.

“Seperti apa yang saya kataka Sarawak mempunyai pelbagai kaum yang saling hormat-menghormati, itulah kebanggan kita iaitu perpaduan dalam kepelbagaian.

“Kita maklum 10 hari mendatang adalah hari yang sibuk untuk semua peserta. sekiranya ada peluang, kenalilah budaya kehidupan di Sarawak dengan mengunjungi tempat-tempat menarik termasuk Muzium Budaya Borneo yang merupakan muzium terbesar di Malaysia,” tambahnya.

Menurut Pengarah Yayasan Sarawak Mersal Abang Rosli, penganjuran temasya telah mendapat kerjasama daripada 14 buah persatuan sukan di bawah Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) bagi memastikan program berjalan dengan lancar.

Selain itu katanya, dalam usaha mendedahkan keunikan Sarawak Yayasan Sarawak turut mengadakan beberapa program sampingan.

Katanya, ia meliputi pentas Pesaya yang menonjolkan budaya melayu Sarawak iaitu persembahan gendang melayu Sarawak.

Selain itu, melalui sukan rakyat pengunjung turut berpeluang untuk berdayung dalam perahu tambang di sungai Sarawak.

Berkaitan