SERIAN: Sambutan Gawai terus dicemari dengan kemalangan maut malam tadi.
Dalam kejadian terkini, seorang maut, seorang parah dan seorang lagi cedera ringan dalam insiden kemalangan yang berlaku di Jalan Mongkos, berhampiran simpang Kampung Bidak, dekat sini.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii memberitahu, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 9.14 malam daripada pihak polis dan sebuah jentera, dan ambulans EMRS dengan kekuatan enam anggota dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Serian.
“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati kemalangan membabitkan tiga buah motosikal iaitu jenis Honda EX-5, Yamaha LC, Modenas Kriss dan dua buah kereta.
“Kesemua mangsa yang terlibat adalah penunggang motosikal manakala pemandu kedua-dua kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Identiti mangsa yang maut kemudian dikenal pasti sebagai Matteus Bulang,” jelasnya.
Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – Sarawakvoice