Rogol anggota keluarga tidak sepatutnya berlaku — Fatimah

KUCHING: Harapkan pegar, pegar makan padi.

Itu respons segera Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Fatimah Abdullah hari ini susulan kes rogol dua beradik, oleh empat anggota keluarganya sendiri yakni bapa kandung, datuk dan dua bapa saudara.

Tegasnya, perkara seperti ini sepatutnya tidak berlaku.

“Mangsa rogol adalah di bawah umur pada waktu kejadian. Pelaku merupakan ahli keluarga yang sepatutnya bertanggungjawab sebagai pelindung, penjaga keselamatan mangsa.

“Ini kerana hanya mereka yang diketahui dan dipercayai mangsa…tempat mereka bergantung harap,” katanya dalam kenyataan kepada media petang semalam.

Sehubungan itu katanya, beliau berharap pihak polis akan mengambil tindakan sewajarnya bagi membolehkan pelaku dibawa ke muka pengadilan, didakwa dan dihukum setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

“Pihak kita telah menjalankan siasatan dan hasil perbincangan di antara pegawai pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat Serian dengan doktor kes, kita bersetuju agar mangsa yang berumur 19 dan 14 tahun perlu diberi perlindungan,” katanya lagi.

Gambar fail

Pada petang semalam, Majistret Dayang Roselind Awang Mahdini membenarkan permohonan Ketua Siasatan Jenayah Daerah Serian, Asisten Superintendan Alias Nen untuk menahan reman keempat-empat suspek yang berusia 26 hingga 57 tahun bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

Mereka ditahan di kediaman keluarga tersebut di Kampung Daha Seroban pada petang semalam selepas salah seorang mangsa yang kini berusia 19 tahun didapati mengandung 25 minggu.

“Tragedi hamba seks” ini disiasat di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan atas kesalahan sumbang mahram dan jika sabit kesalahan, tertuduh berhadapan hukuman di antara 10 ke 30 tahun penjara selain sebatan rotan. – Sarawakvoice