KUALA LUMPUR: Sebagai satu daripada strategi untuk memastikan kemenangan, parti komponen Barisan Nasional kemungkinan akan bertukar kerusi dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata memang terdapat perbincangan tentang isu pertukaran kerusi.

Penganalisis politik percaya pertukaran kerusi berkenaan antaranya membabitka kerusi yang selama ini ditandingi MCA.

Pada PRU lalu, MCA memenangi tujuh kerusi Parlimen dan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Beliau berkata, MCA telah bersedia menghadapi PRU-14.

Pilihan raya yang dijangka sengit itu dipercayai akan diadakan pada suku pertama tahun depan.

“Namun kami tidak dapat mendedahkan butir lanjut tentang perkara ini kerana perbincangan masih berlangsung di peringkat BN,” jelasnya seperti dipetik New Sunday Times hari ini.

“Sehingga tarikh pilihan raya diumumkan atau sebelum kami mencapai konsensus dalam kalangan parti komponen, kami tidak akan mengumumkan pertukaran kerusi berkenaan,”ujarnya.

Liow yang juga Ahli Parlimen Bentong mengakui MCA bersikap terbuka berkaitan sebarang perbincangan terutama membabitkan isu pengagihan kerusi.

“Sama ada membabitkan pertukaran, pertambahan, pengurangan atau apa-apa isu berkaitan pilihan raya, kami sedia berbincang dengan parti komponen,” katanya lagi. – Sarawakvoice