Pindah penduduk terbaik untuk hadapi ancaman hakisan tebing di Kampung Bako — Wan Junaidi

KUCHING: Kerajaan mungkin mempertimbangkan cadangan untuk memindahkan penduduk Kampung Bako yang kini diancam ketakutan, berikutan masalah hakisan tebing yang melanda penempatan mereka.

Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia merupakan antara pilihan yang dicadangkan dalam pelan jangka panjang kampung tersebut setelah menilai beberapa risiko yang dihadapi.

“Kita tidak dapat berkompromi dari aspek keselamatan dan nyawa. Apatah lagi yang melibatkan nyawa lebih seribu penduduk,” tegasnya ketika ditemui selepas melawat kawasan yang terjejas akibat hakisan sungai di kampung berkenaan pada 2 Ogos lalu.

Dalam insiden itu, tiga buah rumah terjun sungai setelah dihambat arus deras Sungai Bako.

Dr Wan Junaidi yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, berkata cadangan ini merupakan alternatif paling praktikal pada masa ini berbanding cadangan membina benteng penahan arus sungai yang menelan kos yang besar, tetapi belum pasti efektif.

“Untuk apa Kerajaan membelanjakan sejumlah RM20 juta untuk membina benteng penahan arus sejauh 500 meter sedangkan peruntukan sebesar itu boleh digunakan untuk mewujudkan penempatan baharu yang lebih kondusif dan selamat.

Katanya, beliau akan berbincang dengan Kerajaan Negeri berhubung cadangan itu selain mengadakan perjumpaan dengan penduduk kampung sebelum membuat sebarang keputusan akhir.

Berdasarkan pengalamannya, Dr Wan Junaidi percaya hakisan sungai itu belum berakhir, malah akan memusnahkan lebih banyak rumah di tepi sungai pada masa akan datang. – Sarawakvoice