Pencemaran dari kilang: Persatuan pengguna kesal kealpaan majlis tempatan, Exco P Pinang ditahan reman 5 hari

PULAU PINANG: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kesal dengan sikap endah tak endah Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang bagai tidak mempedulikan aduan penduduk yang berdepan pencemaran dari sebuah kilang yang terletak sekitar satu kilometer dari kampung mereka.

Presidennnya, SM Mohamed Idris yang mempertikaikan kredibiliti majlis itu berkata hal ini membuktlan MPSP tidak memainkan peranannya dengan sewajarnya.

S.M Mohamad Idris

Katanya, CAP menyokong tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menjalankan siasatan terhadap kes yang sebenarnya telah berlarutan sejak 10 tahun lalu.

“CAP berharap isu ini dapat diselesaikan segera oleh pihak berkuasa demi kesejahteraan penduduk,” katanya kepada media.

Sejak 10 tahun lalu penduduk di Kampung Sungai Lembu di sini berdepan masalah pencemaran asap dan debu dari kilang memproses habuk kayu haram sehingga ada penduduk yang mengadu sukar bernafas.

Sementara itu, EXCO Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh ditahan reman selama lima hari mulai semalam bersama-sama dua beranak berkaitan kes berkenaan.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Pulau Pinang, Ameera Mastura Khamis bagi membolehkan SPRM menyiasat mereka mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – Sarawakvoice