Pemimpin parti mesti ikhlas dalam perjuangan – Johari

KOTA KINABALU: Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, anggota dan kepimpinan Umno perlu ikhlas dan sabar dalam perjuangan demi kelangsungan perjuangan Umno sampai bila-bila.

Anggota Majlis Tertinggi Umno itu berkata, iniiah sifat yang menyebabkan kejayaan anggota dan kepimpinan Umno terdahulu dalam perjuangan mereka menuntut kemerdekaan daripada penjajah British.

“Mereka (pejuang kemerdekaan) tidak dapat apapun. Yang dapat hasil daripada perjuangan mereka ialah anak cucu mereka dan kita semua.

“Kita semua mendapat pelajaran, peluang-peluang perniagaan dan sebagainya,” katanya.

Johari berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Kota Kinabalu di sini semalam. Turut hadir ialah Ketua Umno bahagian itu Datuk Faisyal Yusof Hamdain Diego.

Justeru kata Johari, adalah menjadi tanggungjawab anggota dan kepimpinan Umno pada untuk terus mempastikan Umno dan Barisan Nasional (BN) kekal berkuasa agar generasi akan datang dapat mewarisi dan menikmati hasil perjuangan mereka pada hari ini.

Dalam pada itu, katanya, Umno tetap menghargai rakan-rakan komponennya dalam BN dengan kesanggupannya berkongsi kuasa dalam kerajaan atas prinsip semangat BN meskipun mengetahui bahawa parti komponen berkenaan sedang melalui zaman kelemahan.

Menurutnya, keikhlasan dan kesabaran telah membawa kepada kekuatan semangat BN sekaligus menyumbang kepada kestabilan politik di negara ini.

Sehubungan itu katanya, kestabilan politik sedia ada perlu dipelihara bagi membolehkan kerajaan terus membangunkan sektor pendidikan dan menyediakan kemudahan-kemudahan kesihatan serta memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara. Bernama