Peluang besar menunggu generasi muda dalam era digital

KUALA LUMPUR: Era digital menyediakan peluang besar kepada golongan muda serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia bagi meningkatkan ekonomi dan pendapatan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood, berkata golongan muda ini boleh memanfaatkan peralatan digital yang biasa mereka gunakan untuk merealisasikan matlamat ekonomi tersebut.

“Peluang untuk golongan muda sangat luas memandangkan mereka sudah biasa menggunakan peralatan digital seperti Instagram, Facebook dan lain-lain lagi.

“Kami kini mahu meyakinkan mereka supaya tidak hanya menggunakannya untuk kegunaan sosial semata-mata, bahkan memanfaatkannya untuk meningkatkan tahap ekonomi dan pendapatan,” katanya kepada Bernama.

Yasmin berkata keusahawanan digital boleh menjana aliran pendapatan tinggi, dan sudah terbukti e-dagang dapat meningkatkan dan melonjakkan akses perniagaan kepada golongan muda dan PKS.

“Kami mendapati ada yang sudah menjadi jutawan menerusi program e-usahawan kami.

Ada juga banyak kes usahawan PKS yang baru menyertai program eksport e-usahawan dan e-dagang selama setahun, sudah pun memperoleh pendapatan empat kali ganda dan semakin meningkat.

Melalui e-Rezeki MDEC, peserta diberikan pendedahan kepada platform dalam talian untuk mendapatkan pekerjaan.

“Dalam era digital, banyak syarikat menawarkan peluang pekerjaan menerusi platform dalam talian yang boleh diakses di seluruh dunia.

Menerusi e-Rezeki, kami mengajar kaedah bagaimana anak-anak mudah di kampung dapat menggunakan kemahiran seperti kemahiran teknikal, kreatif atau linguistik mereka untuk menawarkan bantuan secara maya dan mendapat bayaran darpada syarikat yang beroperasi di luar negara.

Inilah fenomena baharu yang boleh dilakukan menerusi inovasi digital,” katanya.

Selain itu, Yasmin berkata tinjauan oleh agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mendapati usahawan dan PKS boleh memanfaatkan e-dagang untuk mengembangkan sempadan pasaran.

“Semasa kami, SME Corp, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan MDEC, turun padang, kami dapati perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mempunyai produk yang sangat baik.

“Dalam pada mereka menjual produk menggunakan strategi pemasaran yang mudah… di pasar pagi, pasar malam atau pasar minggu, menjual dalam komuniti masing-masing, kami mendedahkan mereka kepada peluang e-dagang supaya mereka dapat mengembangkan akses pasaran ke luar kampung dan negara,” katanya.

Beliau berkata beberapa PKS berjaya menembusi pasaran negara, Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan sebaliknya, selain ke negara jiran seperti Brunei, Singapura dan Indonesia.

“Akhirnya setelah mengetahui kaedah menggunakan e-dagang dan meningkatkan kapasiti produk, kami akan mendedahkan mereka kepada peluang eksport pula.

“Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) merupakan peluang eksport,” katanya.

Menerusi DFTZ, Yasmin berkata risikan pintar dan Internet segala-galanya serta inovasi digital akan memberi impak ke atas edagang, dan menyediakan zon fizikal dan maya untuk diimanfaatkan oleh PKS dari segi pertumpuan pertumbuhan ekonomi Internet serta aktiviti rentas sempadan.

Yasmin juga menggesa rakyat Malaysia mencuba platform dalam talian ‘Go e-commerce’ (www.goecommerce.my), pusat sehenti sumber perniagaan dalam talian khusus untuk membimbing PKS dalam penggunaan e-dagang, yang dilancarkan oleh MITI baru-baru ini.

“Menerusi go-edagang, platform itu akan membantu PKS menangani kekeliruan kerana ia akan membantu mereka beroperasi dalam ekosistem e-dagang,” katanya.

Mengenai isu yuran kos penghantaran rentas sempadan pada masa ini, Yasmin berkata PKS patut menggunakan KLIA untuk aktiviti eksport mereka ke mana-mana negara di dunia.

“Sebab itulah kami mahu meningkatkan kecekapan dalam ekosistem logistik kami menerusi hab e-dagang dan logistik di DFTZ.

Kecekapan akan mengurangkan kos,” kata Yasmin. Bernama