Pelari Kenya ungguli Maraton Kuching 2017, pecah rekod tahun lalu

KUCHING: Dua pelari Kenya bukan sahaja mengungguli tempat pertama dan kedua Maraton Kuching pada tahun ini, malah mencipta rekod baharu acara tersebut dengan kepantasan 2 jam 26 minit dan 32 saat.

Ia membolehkan Joseph Mwangi Ngare membawa pulang habuan RM8000 manakala rakan senegaranya, Julius Kiprotich membawa pulang RM3000.

Tempat ketiga dengan habuan RM2000 dimenangi pelari Jepun, Hiroki Nakajima yang mencatat 2 jam 35 minit dan 3 saat.

Pelari Kenya turut menyapu bersih saingan untuk kategori 42 kilometer wanita terbuka.

Margaret Wangui Njuguna mencatat 2 jam 48 minit dan 29 saat, diikuti Edinah Jeruto Koech mencatat 2:48:30:1 Valentine Jepkemoi Serem pula 2:48:30:6.

Pelari Thailand, Prasoet Phaisan mengekalkan penguasaan kategori Veteran Lelaki dengan mencatat 3 jam 13 minit dan 36 saat diikuti dua pelari Malaysia Liew Joon Kien 3:24:33 dan Tan Song Hua 3:25:53.

Kategori Wanita Veteran pula dimenangi Kona Liau dengan catatan 3:50:59, diikuti Ewa Bee Hong 3:55:02 dan Hamisah Antahar 4:05:55. Ketiga-tiga mereka merupakan pelari tempatan.

Sementara itu, kategori 21 kilometer Lelaki Terbuka pula dikuasai John Waithaka Njihia (Kenya) yang mencatat 1 jam 19 minit dan 28 saat. Ini diikuti Mohd Feldarus Abdul Rahman (Malaysia)(1:20:27) dan Tse Chun Hung (China)(1:24:23).

Kategori 21 kilometer Wanita Terbuka  pula dimenangi pelari Malaysia, Tho Siaw Khim yang mencatat 1 jam 42 minit 03 saat manakala tempat kedua, Giulia Bossi (Itali)(1:42:04), dan ketiga Joanne Grange (Malaysia)(1:45:45).

Kategori 21 kilometer Lelaki Veteran pula dikuasai pelari Malaysia dengan Yusop Tungkop mencatat 1:26:41, Alex Tiong King Hee (1:31:12) dan Sabri Sedi (1:31:35).

Peserta Malaysia turut menguasai kategori 21 kilometer Wanita Veteran dengan Ling Mee Eng mencatat 1:44:37, Chong Vun Long (1:49:42) dan Hii Yieng Nyuk (1:55:56).

Pelari Britain, David Patton pula mencatat 39 minit 54 saat untuk memenangi acara 10 kilometer Lelaki Terbuka, diikuti Faiz Arifin (Malaysia)(39:59) dan Sunny Jongshixian (Malaysia)(40:31).

Kategori 10 kilometer Wanita Terbuka pula dikuasai pelari Malaysia, dengan Su Lian Tiing mencatat 50 minit 09 saat, Lee Leh Ha (50:14) dan Chai Shiaw Fung (53:30)

Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah telah melepaskan peserta bermula jam 1.30 pagi tadi, serta kemudian menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Ini merupakan tahun keempat penganjuran acara tersebut, yang dikendalikan oleh Persatuan Maraton Kuching.

Mengulas kejayaan acara yang menarik lebih 10 ribu penyertaan ini, Abdul Karim berkata, ia memberi impak yang besar terhadap sektor pelancongan Sarawak.

“Kementerian saya akan terus menyokong penganjuran program ini pada tahun hadapan untuk menjadikannya lebih meriah dan hebat, dan melibatkan penglibatan lebih banyak penyertaan antarabangsa.

“Tentunya kita akan menyediakan tawaran hadiah yang lebih lumayan dan menyeluruh untuk lebih banyak pemenang selepas ini,” katanya lagi. – Sarawakvoice