KUBANG KRIAN: Naib Presiden Amanah Datuk Husam Musa berkata Pas perlu meminta maaf kepada umat Islam di Malaysia selepas pemimpinnya mengeluarkan kenyataan berbaur sentimen agama berhubung Rang Undang-Undang Membaharui Perkahwinan Dan Perceraian Pindaan 2017, Akta 164 (RUU164).

Mengulas tindakan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat Dr Riduan Mohd Nor menarik balik tulisannya “RUU164: Tragedi Malang Buat Umat Islam di Negara Ini”, Husam berkata permohonan maaf terbuka masih diperlukan.

Bercakap pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Amanah Kelantan di Wisma Tok Guru, Salor pada Sabtu, Husam menyifatkan terdapat maklumat tidak tepat dalam tulisan berkenaan.

“Penarikan balik ini tidak lengkap kecuali Pas minta maaf atas perkara yang telah mereka bangkitkan,” ujar Husam memerik laporan Amanah Daily pada Sabtu.

Dalam kenyataannya, Husam turut merujuk tindakan Ketua Penerangan Pas Nasruddin Hassan yang akhirnya berterima kasih kepada BN kerana membentangkan RUU164 tersebut.

Husam berkata, tulisan Riduan ditarik balik dan Ketua Penerangan Pas telah mengeluarkan satu kenyataan baru iaitu berterima kasih kepada kerajaan kerana membawa pindaan 164 ini.

Husam yang juga penasihat Amanah Kelantan menegaskan, “ini menunjukkan Pas pada peringkat permulaan tidak faham maksud dan kebaikan daripada pindaan ini.”

Bagaimanapun, dalam kenyataan Nasruddin yang berterima kasih kepada kerajaan itu, Pas sempat menyalahkan Dap dan Amanah berkaitan draf RUU164 itu.

Menurut Nasruddin, Dap dan Amanah menentang langkah menggugurkan Fasal 88A berkaitan penukaran status agama anak yang hanya boleh dilakukan selepas mencapai usia 18 tahun dan perlu mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa. – Sarawakvoice