Najib bersama ribuan umat Islam di Malam Doa untuk Malaysia

PUTRAJAYA: Hujan renyai sejak pukul 7 malam tadi tidak menghalang lebih 10,000 umat Islam berkumpul di Dataran Putra, di sini, untuk bersama-sama Perdana Menteri pada majlis ‘Doa untuk Malaysia’ sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2017.

Datuk Seri Najib Tun Razak yang berbaju Melayu coklat muda, berseluar hitam serta bersongkok, tiba pada pukul 8.40 malam dan disambut Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Program itu julung kali diadakan di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan setelah tiga tahun berturut-turut diadakan di Dataran Merdeka, bagi memberi laluan kepada persiapan Sambutan Hari Kemerdekaan 2017 di dataran itu.

Dianjurkan bersama oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Yayasan Pendidikan Cheras dan Perbadanan Putrajaya, program itu diadakan sebagai pembukaan kepada semua acara sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Program itu dimulakan dengan solat Isyak dan solat hajat di Masjid Putra yang diimamkan oleh Imam Besar masjid itu Datuk Abd Manaf Mat.

Kemuncak acara adalah bacaan Doa Untuk Malaysia yang dipimpin Jamil Khir bagi memohon agar negara kekal stabil, maju, aman, makmur serta selamat sejahtera.

Pengisian doa itu termasuk memohon agar segala cita-cita dan inisiatif negara menjadi realiti dan mengukuhkan perpaduan antara kaum serta dijauhkan dari sebarang anasir negatif.

Hadirin kemudiannya turut tidak ketinggalan mengikut alunan qasidah dan selawat perdana yang dipimpin oleh pendakwah terkenal dari Indonesia Habib Syech Abdul Qadir Assegaf serta menghayati tazkirah kemerdekaan oleh Datuk Ustaz Badli Shah Alauddin.

Program Doa Untuk Malaysia bagi penganut agama lain turut dilaksanakan mengikut kepercayaan masing-masing pada malam ini antaranya di Ipoh, Perak bagi agama Buddha; Ijok, Selangor (Hindu); Pendang, Kedah (Buddha-Siam); Tambunan, Sabah; dan Betong, Sarawak (Kristian); dan Malim Nawar, Perak (Sikh). Bernama