Kuching Marathon tingkatkan ekonomi masyarakat setempat, Abdul Karim suntik hadiah lumayan tahun depan

KUCHING: Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia Dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah optimis, penganjuran acara sukan seperti Maraton Kuching amat membantu sektor pelancongan di negeri ini.

Menurutnya, dengan penyertaan lebih 10 ribu pelari, dan terpaksa menolak lebih dua ribu penyertaan lewat, sambutan yang diterima adalah amat luar biasa.

“Kerana itu saya beri jaminan bahawa kementerian saya akan memberi sepenuhnya penajaan dari aspek hadiah, terutamanya wang tunai dengan tawaran lebih lumayan,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah marathon tersebut sebentar tadi.

Ia merupakan edisi keempat kejohanan ini, sejak diperkenalkan pada 2014.

Kata Abdul Karim, pada kejohanan kali ini, impaknya turut membawa habuan ekonomi kepada pengusaha penginapan, pengangkutan dan penginapan di sekitar bandar raya ini.

“Ia malah turut memberikan publisiti antarabangsa kepada negeri ini di mata dunia.

Sehubungan itu beliau berharap, maraton ini akan diadakan lagi pada tahun hadapan dan akan mencapai lebih banyak penyertaan berbanding tahun ini.

“Dengan adanya penerbangan langsung ke Kuching yang kita sedang usahakan, lebih ramai yang akan terlibat, baik sebagai peserta mahupun penyokong dan ahli keluarga,” tambahnya lagi.

Antara peserta luar yang menyertai maraton ini termasuk dari Kenya, England, Itali, Singapura, Thailand, China Jepun dan beberapa negara lain.

Beliau turut gembira dengan penyertaan peserta tempatan yang amat menggalakkan, dan menjadikan aktiviti ini sebagai riadah keluarga. – Sarawakvoice