Indonesia-Malaysia bergabung menentang serangan kempen buruk antisawit Eropah

JAKARTA: Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi berkata Indonesia bersama Malaysia sepakat meningkatkan kerjasama dalam sektor kelapa sawit, khususnya menghadapi kempen antisawit yang dilancarkan Kesatuan Eropah (EU).

Jakarta-Kuala Lumpur setakat ini sudah memiliki mekanisme kerjasama kelapa sawit dalam instrumen Council of Palm Oil Producer Countries (CPOPC).

Menurut Retno semasa berucap di hadapan Menteri Luar Malaysia Dato Sri Anifah Aman,  sebagai pengeluar produk sawit, kolaborasi Indonesia-Malaysia menjadi sangat penting dan strategis meningkatkan produksi sawit yang lestari dan berdaya saing.

Memetik CNN pada Sabtu, Retno berucap pada pertemuan bilateral di Kementerian Luar Indonesia, Jumaat lepas, bahawa Indonesia dan Malaysia bersatu hati menghadapi kempen antisawit Eropah.

Sebelum ini, pada April lepas, Parlimen Kesatuan Eropah (EU) mengeluarkan resolusi bertajuk “Palm Oil and Deforestation of Rainforest” yang memberikan sentimen negatif kepada negara pengeluar sawit terbesar seperti Indonesia dan Malaysia.

Tindakan Parimen EU dinilai bersifat diskriminasi terhadap produk sawit Indonesia.

EU gemar menggunakan isu alam sekitar untuk menyerang penjualan minyak sawit di arena antarabangsa khususnya di Eropah dan lebih memihak kepada pengeluar minyak berasaskan soya Barat.

Berdasarkan kajian teknologi CPOPC, tudingan EU tersebut tidak berasas kerana negara pengeluar minyak sawit berkomitmen memulihara sumber dan alam sekitar. – Sarawakvoice