DAP sokong kerajaan negeri tuntut 30 peratus cukai pelancongan

SIBU: Kenyataan Menteri Pelancongan Negeri Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menuntut supaya 30 peratus daripada hasil Cukai Pelancongan diserahkan kepada Sarawak ialah permulaan yang baik untuk menyatakan pendirian tegas kerajaan negeri Sarawak berkaitan isu berkenaan, kata Naib Pengerusi DAP Sibu Irene Chang.

Dalam kenyataan akhbarnya, Irene berkata menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk memastikan hak tersebut tidak terhakis dan diambil oleh kerajaan persekutuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Assek itu berkata daripada hasil cukai 30 peratus itu, Sarawak perlu pergi lebih jauh dengan menuntut 30 peratus daripada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Sebelum ini Menteri Pelancongan dan Kebudayaan persekutuan Datuk Seri Nazri Aziz berkata bahawa Sarawak dan Sabah akan mendapat 10 peratus daripada cukai berkenaan.

Di bawah cukai yang bakal diperkenalkan itu, warga asing yang menginap di hotel di negara ini akan dikenakan cukai RM10 semalam, berbeza daripada kadar asal yang diumumkan sebelum ini yang ditentukan oleh taraf hotel.

Isu berkenaan telah mencetuskan pertelagahan antara Nazri dan Abdul Karim apabila Nazri yang terkenal sebagai menteri yang lantang dan celopar menyifatkan menteri Sarawak itu sebagai bersifat samseng walaupun baru setahun jagung sebagai menteri.

Beliau dilantik sebagai menteri penuh beberapa bulan lalu ekoran rombakan kabinet oleh Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abng Haji Openg.

Irene yang juga pengarah Biro Hal Ehwal Wanita DAP berkata, Kementerian Pelancongan perlu berpendirian tegas dan mengingatkan kerajaan negeri bahawa ia tidak bersandiwara menjelang pilihan raya umum ke-14.

“Persoalan yang menjadi perhatian pemain industri dan pemegang taruh ialah jika kerajaan persekutuan enggan berunding tentang 30 peratus, apakah langkah seterusnya yang akan diambil oleh Kementerian Pelancongan negeri? Adakah ia akan terus berpendirian tegas atau ia akan mengalah?”

Katanya, Sarawak amat memerlukan dana untuk pembangunan agar sejajar dengan pembangunan di negeri-negeri lain. – Sarawakvoice