CIDB siasat faktor kecuaian dalam kes kren tumbang di Tanjung Tuang, Samarahan — Fadillah

KUCHING: Faktor kecuaian menjadi fokus siasatan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), yang “turun padang” menyiasat kes kren tumbang, hingga mengorbankan dua nyawa di tapak pembinaan Taman Capital Tanjung Tuang di Samarahan dua hari lalu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah berkata, sebagai pengawal selia kontraktor, menjadi tanggungjawab CIDB untuk melakukan siasatan menyeluruh berhubung apa yang berlaku.

“Jika didapati syarikat cuai dan tidak mematuhi keperluan keselamatan selaras dengan kehendak peraturan maka syarikat terbabit akan berhadapan tindakan,” tegasnya ketika ditemui pada Majlis Pertukaran Memorandum bagi Program Kemudahan Pembiayaan Kontraktor Projek Lebuh Raya Pan Borneo di sini sebentar tadi.

SIasatan dan pendakwaan lanjut bagaimanapun adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH).

“Namun lazinnya, kes seperti ini akan disiasat secara bersama oleh CIDB dan DOSH.

Tragedi kren tersebut menyebabkan Muhammad Bake, 49 tahun dari Kampung Melayu, Kota Samarahan dan Helen Suma Gilbert, 40 tahun dari Kampung Moyan Lidang, Asajaya mati serta-merta. – Sarawakvoice