Banjir datang lagi, sekurang-kurangnya sebuah sekolah tutup esok — JPBN

KUCHING: Banjir datang lagi. Dan seperti tahun lalu, kawasan hulu dan tanah tinggi Sarawak menerima kesan taburan hujan lebat hingga menenggelamkan beberapa sekolah.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negeri (JPBN), Ismail Mahedin mengesahkan tiga laporan banjir tersebut yang diterima pagi ini.

“Kejadian melibatkan premis klinik Long Bemang dan Sekolah Kebangsaan Long Bemang di kawasan Telang Usan.

“Sekitar jam 9 pagi tadi, air pada ketinggian di bawah satu kaki direkodkan, namun menunjukkan trend menurun manakala cuaca baik.

Di Murum pula, Pejabat Pelajaran Sebauh sekitar jam 9.30 pagi tadi memaklumkan Sekolah Kebangsaan Kuala Kebulu akan ditutup esok setelah kawasan sekolah dinaiki air setinggi empat kaki hingga menenggelamkan titi sekolah.

“Murid-murid yang bercuti hujung minggu bagaimanapun masih berada di rumah masing-masing.

Banjir turut dilaporkan di Ngemah melibatkan Sekolah Kebangsaan Nanga Balingiau sekitar jam 9.30 pagi tadi.

“Ia berpunca daripada hujan lebat semalaman.

“Disebabkan paras air hanya setengah kaki, dan beransur surut, pihak pengurusan optimis sekolah dapat beroperasi seperti biasa esok,” katanya lagi. – Sarawakvoice