Usaha banteras jenayah perlu ditambah baik – Dr Sharifah

PUTRAJAYA: Mesyuarat Jawatankuasa Multimedia dan Komunikasi Korporat bagi program membanteras jenayah di bawah kerjasama Strategi Lautan Biru Kebangsaan antara kerajaan dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) bersetuju supaya usaha ke arah itu perlu terus ditambah baik daripada pelbagai aspek termasuk penggunaan pendekatan teknologi baharu.

Mesyuarat pertama jawatankuasa yang baru ditubuhkan itu turut bersetuju untuk memantapkan lagi strategi dan penggunaan pendekatan teknologi baharu bagi membolehkan polis mengurus hal-hal jenayah supaya lebih berkesan, selain mempertingkatkan penglibatan bersepadu komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO), di samping agensi kerajaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad, yang dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa itu oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga pengerusi MCPF dan Menteri Dalam Negeri, telah mempengerusikan mesyuarat tersebut, yang turut dihadiri Naib Pengerusi Kanan MCPF Tan Sri Lee Lam Thye.

Mesyuarat itu juga bersetuju bahawa satu daripada cabaran yang perlu diatasi adalah isu persepsi rakyat mengenai kadar jenayah.

Walaupun kadar jenayah telah menurun daripada 209,817 kes pada tahun 2009 kepada 112,354 kes pada tahun lepas, pelbagai kajian yang dijalankan oleh pihak universiti tempatan mendapati persepsi rakyat mengenai kadar kes jenayah adalah tinggi.

Ia berikutan wujudnya isu persepsi ini yang turut dihadapi oleh negara-negara luar seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia.

Sharifah Zarah berharap dengan kerjasama MCPF, isu jurang antara persepsi rakyat dengan kadar kes jenayah dapat ditangani secara holistik.

Selain itu, penekanan juga akan diberi terhadap penggunaan media sosial dalam membanteras isu jenayah dengan lebih berkesan selaras dengan perkembangan semasa dan pengaruh media tersebut.

Pada mesyuarat yang diadakan semalam, wakil dari semua agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional turut hadir bagi memberi komitmen yang positif dalam bersama-sama melaksanakan inisiatif-inisiatif ke arah membanteras jenayah.

Selain Lee, turut hadir bagi pihak MCPF ialah bendaharinya Tan Sri Eddy Chen Lok Loi, dan anggota exco, Tan Sri Robert Phang Miow Sin. Bernama