Pindaan Akta 164: Amanah bidas Pas merapu, paranoid

KUCHING: Pengarah Hal Ehwal Syariah Amanah Zolkharnain Abidin menganggap dakwaan pindaan Akta 164 menyebabkan satu demi satu hak umat Islam terlucut, sebagai paranoid bahawa orang lain sentiasa mendatangkan ancaman.

Bagi Zolkharnain, pindaan akta tersebut tidak melucutkan hak orang Islam seperti dianggap sebaliknya membantu memartabatkan Mahkamah Syariah.

Memetik laporan Amanah Daily Zolkharnain yang merujuk kepada dakwaan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat Dr Riduan Mohd Nor berkaitan pindaan Akta 164 Abidin, bahkan dituduh sebagai merapu.

Zolhranain menyifatkan Rang Undang-undang (RUU) dilulus selepas dibacakan kali ketiga di Dewan Rakyat 12.45 tengah malam 10 Ogos lalu, bahkan sepatutnya membantu perkembangan dakwah selain memperkukuh hubungan antara Muslim dan non-Muslim.

Selain itu, tanggapan Dr Riduan berkenaan pindaan Akta 164 memberikan pelbagai kelebihan bagi individu murtad, menukar agama serta mengikis hak terutama penjagaan hak terhadap anak sebagai antara hujah merapu.

Zolhranain berhujah bahawa murtad berlaku semenjak zaman Nabi lagi walaupun tanpa pindaan akta ini.

“Orang murtad tidak pernah mendapat tempat istimewa dalam mana-mana masyarakat. Bagaimana boleh dikata pindaan akta ini kelebihan untuk mereka?” bidas Zolhranain.

Beliau turut menafikan anggapan Riduan kononnya kelulusan pindaan akta tersebut bererti kekalahan besar terhadap kepentingan Islam.

Dengan sinikal Zolkhnain berkata, kenapa Riduan kata Islam kalah besar?

“Jika Pas yang kalah undian dalam Parlimen, itu kekalahan Pas bukan kekalahan Islam.

“Pas kalah tak semestinya Islam kalah. Riduan rasa hanya Pas saja yang berjuang Islam?” bidas Zolkharnain.

Zolkharnain berpendapat pindaan Akta 164 merupakan kemenangan Islam dalam tempoh jangka panjang.

Menasihatkan pemimpin Pas itu supaya tidak merapu, beliau menyenaraikan hujah membidas dakwaan Riduan yang menuduh Ahli Parlimen Muslim dari Amanah dan PKR tidak menyertai Ahli Parlimen Pas dalam mengambil bahagian membantah usul pindaan tersebut.

Terdahulu, Riduan dalam tulisannya mendakwa orang bukan Islam tidak dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam.

Dakwaan pemimpin Pas berkenaan kononnya orang Islam hendaklah dibenarkan keluar dari Islam jika ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan tindakan undang-undang juga dilihat sebagai merapu. – Sarawakvoice