Penjawat awam jadi keldai dadah dari Kuching dijaring Polis Serian

SERIAN: Polis Serian percaya mereka berjaya melumpuhkan rangkaian pengedaran dadah yang berusia lima bulan di sini, susulan kejayaan menahan seorang lelaki di sekitar bandar tersebut, awal pagi Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata, suspek yang juga penjawat awam berusia 36 tahun itu ditangkap sekitar jam 1.15 pagi berhampiran sebuah bank di bandar ini oleh sepasukan anggota Siasatan Jenayah Narkotik IPD tersebut.

“Kejayaan ini adalah hasil intipan dan soal siasat pasukan, setelah berjaya mencekup lima penagih pada hari sebelumnya.

“Soal siasat kemudian membawa kepada pendedahan peranan suspek, yang menjadi ‘penghubung’ kepada rangkaian pengedaran dadah dari Kuching.

Terdahulu, tangkapan awal dilakukan terhadap lima individu lelaki berusia 18 hingga 35 tahun di sekitar bandar itu kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Aswandy memberitahu, pemeriksaan lanjut terhadap suspek semasa ditahan, turut menemui dadah jenis syabu seberat 2.5 gram yang dianggarkan bernilai pasara n RM650.

“Siasatan awal turut mendapati suspek menerima habuan sekitar RM100 untuk penghantaran hari tersebut.

“Tetapi kelazimannya, habuan akan diagihkan berdasarkan nilai dadah yang dihantar.

Modus operandi suspek katanya, adalah dengan menghantar dadah ke lokasi yang ditetapkan selepas mendapat tempahan daripada pembeli melalui deposit tunai ke dalam akaun bank.

“Suspek yang memiliki tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan dua kesalahan mencuri kenderaan, kini ditahan reman sehingga 13 Ogos untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12 (a) dan Seksyen 15(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dan memiliki dadah. – Sarawakvoice