BERDASARKAN perkembangan politik semasa, Parti Pesaka Bumputera Bersatu (PBB) yakin mampu menyapu bersih semua 13 kerusi Parlimen yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kali ini.

Pada PRU13 lepas, PBB di bawah mantan Ketua Menteri Sarawak yang kini menjawat jawatan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, ketika itu berjaya memenangi semua 13 kerusi Parlimen yang ditandingi.

Kini di bawah kapten baru, Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, dengan turut memiliki barisan pemimpin berkaliber, tanpa dibelenggu sengketa dalaman parti, PBB berada pada kedudukan terbaik memenangi sebarang pertarungan menentang lawan politik.

Antara kawasan tradisi ditandingi PBB pada PRU ialah Santubong, Petra Jaya, Kota Samarahan, Puncak Borneo, Batang Sadong, Batang Lupar, Betong, Tanjong Manis, Igan, Mukah, Kapit, Sibuti dan Limbang.

Meskipun Abang Johari, 66, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri memastikan terdapat beberapa muka baru ditampilkan pada PRU14 menggantikan Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Dr James Dawos Mamit serta Ahli Parlimen Betong Datuk Amar Douglas Uggah Embas – PBB masih mempunyai kekuatan untuk sekali lagi mencatatkan kemenangan 100 peratus itu.

Sementara, menelusuri satu-satunya pilihan raya diterajui semasa Allahyarham Tan Seri Adenan Satem, 72, hanya menerajui sekitar tiga tahun negeri Sarawak sebagai Ketua Menteri kelima, PBB mencatatkan kemenangan bergaya.

Melalui “Faktor Adenan” dan “Demam Adenan”, PBB bergaya menguasai 40 kerusi ditambah 5 lagi kerusi pimpinan BN tanpa parti yang akhirnya menyertai PBB pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) 7 Mei 2016.

Meski menguasai lebih separuh daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan pada PRN11, Allahyarham Adenan meneruskan tradisi berkongsi kuasa dengan parti komponen lain seperti PRS, SPDP, SUPP dan UPP memerintah Sarawak yang harmoni dan stabil.

PBB berusia 44 tahun, lahir 30 April 1973 daripada gabungan Parti Negara Sarawak (Panas), Barisan Rakyat Jati Sarawak (Barjasa) dan Parti Pesaka Anak Sarawak (Pesaka).

PBB bertekad memperjuangkan untuk meningkat kehidupan dan membela nasib kaum Bumiputera dalam pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi dan sosial.

Ketika Kerajaan Negeri di bawah Abang Johari berada pada takah terbaik dengan isu pembangunan jalan raya pesisir dan Pan Borneo, kelajuan internet, koridor SCORE, Hidro Bakun, LRT, ekonomi digital, DBos, Petros dan sebagainya… menjadikan BN sangat kuat di Bumi Kenyalang dengan PBB menjadi tonggak bagi kejayaan itu! – Sarawakvoice