Lamaran ditolak Vida, Siti Kassim, Rani Kulup mahu usik “Azlina Othman” pula!

KUALA LUMPUR: Selepas “lamaran cintanya” ditolak dengan “agak keras” oleh jutawan kosmetik Datuk Seri Hasmiza Othman dan “sedikit lembut” oleh peguam Siti Kasim, melalui wawancara rancangan bual bicara santai di Astro Ria, Abdul Rani Kulup spontan mengaku, mahu “mengusik” individu bernama “Azlina Othman” pula.

Nama tersebut disebut spontan ketika ditanya pengacara, siapakah lagi wanita yang hendak “diusik” selepas ini oleh Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibah, Rani Kulup yang terkenal dengan nama jolokan ayah itu.

Memetik ulasan di Malaysiakini, pelapornya menggambarkan rakaman adegan tersebut sebagai: “suasana diam sebentar ketika beliau menyebut nama itu, yang mirip ‘Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said’.”

“Azlina Othman? Siapa?” tanya salah seorang pengacara bual bicara santai itu yang rakaman videonya dapat ditonton di Youtube.

Seorang lagi pengacara bertanya: “Penyanyi ke, pelakon ke?”

Rani Kulup bagaimanapun menjawab, “orang yang bagi tahu ayah. Ayah mana tahu.”

Sebelum itu, Rani Kulup dengan penampilan bersahaja berkostum tersendirinya, melamar Vida dan Siti Zabedah atau lebih dikenali sebagai Siti Kasim, menjadi isterinya.

Menurut Sinar Harian, Vida, 46, mengakui Rani Kulup bukan ciri pilihannya.

Bagi Vida, cita rasanya ialah lelaki bermata kelabu, muda dan kacak serta kaya dan boleh memajukan perniagaannya.

Sebuah portal memetik Vida berkata, “Seseorang yang boleh memajukan perniagaan saya ke arah trilion ringgit. Itu baru boleh.”

Vida turut mengingatkan Rani Kulup agar tidak mencari publisiti murahan dan mengakui sudah mempunyai calon suami orang Eropah yang bertemunya Aidilfitri lepas.

Sementara, Siti Kasim yang mulanya “diam” tidak menjawab sebelum ini, turut membuka mulut merespons lamaran Rani Kulup sebelum ini menyatakan hasratnya untuk memperisterikan Siti Kasim di Facebook.

Dalam jawapannya kepada KiniTV, peguam Siti Kasim mengaku suka akan penampilan Rani Kulup, tetapi tidak memandang serius lamaran tersebut.

“Dia melawak saja,” ujar Siti Kasim menambah, “orang ramai ambil serius sangat, aiyo,” katanya ketawa.

Kini, ditunggu-tunggu jawapan sama ada “kasar” atau “lembut” individu bernama “Azlina Othman” yang tidak digambarkan siapakah tuan punya badan sebenarnya itu? – Sarawakvoice