Kilang samsu di Padawan lumpuh diserbu polis

KUCHING: Polis Padawan hari ini berjaya melumpuhkan sebuah kilang samsu haram, dipercayai kejayaan yang pertama seumpamanya di negeri ini sejak 20 tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, kejayaan ini adalah hasil maklumat awam, yang membolehkan satu serbuan dilakukan oleh anggota siasatan jenayah daerah yang diketuai Inspektor Azizan Amirudin di Kampung Git, Batu 16 sekitar jam 9.25 pagi tadi.

“Dalam serbuan itu, kita berjaya merampas 75 tong yang disyaki berisi samsu haram dan peralatan memprosesnya,” katanya kepada media sebentar tadi.

Aidil memberitahu, serbuan tersebut turut mencekup tiga individu berusia 38 hingga 65 tahun, termasuk pesara guru untuk membantu siasatan.

Turut dirampas tiga unit dapur aluminium berbentuk silinder dan tiga unit tong gas, katanya lagi. – Sarawakvoice