Kepala mangsa pecah dihempap kren — Bomba

KOTA SAMARAHAN: “Kepala mangsa pecah,” itu gambaran yang diberikan oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan, Hashim Ramalan berhubung keadaan salah seorang mangsa insiden kren tumbang di tapak pembinaan di Tanjung Tuang semalam.

Menurutnya, pihaknya menerima maklumat kecemasan sekitar jam 3.55 petang dan sebuah jentera Scania serta sebuah ambulans EMRS dengan kekuatan sembilan anggota dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan.

“Pasukan yang diketuai Ahmad Shah Saad ini tiba di tapak lokasi di Taman Capital Tanjung Tuang dalam tempoh 15 minit.

“Ketika kami tiba, terdapat dua mangsa yang terlibat, dan terdapat seorang mangsa yang masih tersepit ditimpa lengan kren tersebut.

Pasukan katanya, kemudian menggunakan bantuan dua buah jentera jengkaut Kobelco di tapak projek untuk mengangkat lengan kren untuk membolehkan penyelamat mengalihkan mayat mangsa.

“Kita berjaya melaksanakan operasi ini dalam tempoh kurang lima minit dan kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak paramedik di lokasi.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya, katanya.

Identiti mangsa lelaki kemudian dikenal pasti sebagai Muhammad Bake, 49 tahun dari Kampung Melayu Kota Samarahan manakala mangsa wanita, Helen Suma Gilbert, 40 tahun dari Kampung Moyan Lidang, Asajaya.

Ketika tinjauan dilakukan sarawakvoice.com malam tadi, kren berkenaan masih tidak dialihkan dan pasukan penyiasat kemalangan industri dijangka memulakan siasatan hari ini. – Sarawakvoice