Kawalan keselamatan udara bersama Indonesia, Filipina akan dilancar dalam masa terdekat – Hishammuddin

KOTA KINABALU: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Trilateral Air Patrol (TAP) antara Malaysia, Indonesia dan Filipina di Laut Sulu akan dilancarkan di Pangkalan Udara Subang dalam masa terdekat.

Beliau berkata TAP adalah antara inisiatif yang dilaksanakan bagi mempertingkatkan pengawasan keselamatan dan kesiapsiagaan ruang udara dan maritim agar militan termasuk Daesh tidak menjadikan Laut Sulu sebagai laluan tikus untuk menceroboh masuk ke Malaysia

“Sebelum ini kita telah melaksanakan Trilateral Maritime Patrol (TMP) dengan mereka (Indonesia dan Filipina) dan dalam masa terdekat kita akan melaksanakan lagi TAP,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Penganugerahan Battle Honour ‘Daulat Feb 2013’, di Padang Merdeka, di sini Jumaat malam.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Johari Baharom Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Darat Diraja Malaysia Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim, Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia Jeneral Datuk Seri Affendi Buang.

TMP telah dilancarkan di atas kapal Tentera Nasional Indonesia (TNI) Angkat Laut KRI dr. Suharso-990, di Pelabuhan Tarakan, pada 19 Jun lepas yang turut dihadiri rakan sejawat Hishammuddin, Ryamizard Ryacudu dari Indonesia dan Delvin N Lorenzana dari Filipina.

Hishammuddin berkata pelancaran TAP di Pangkalan Udara Subang itu nanti akan menjadi sejarah bagi negara kerana buat pertama kalinya bendera ketiga-tiga negara dikibarkan di Malaysia demi menentang ancaman militan.

“Kita tidak boleh menghadapi cabaran ancaman militan Daesh secara bersendirian. Oleh itu kita melakukan kerjasama dengan negara jiran dan melalui perbincangan bersama rakan sejawat di Indonesia dan Filipina, kita mungkin akan perluaskan lagi kerjasama ini.

“Mungkin kita akan luaskan kerjasama dengan Brunei dan Singgapura kerana mereka turut hadir dalam pelancaran TMP baru-baru ini dan kita juga mungkin akan bekerjasama dengan negara ASEAN lain bagi membincangkan strategi dan pendekatan terbaik untuk memerangi kumpulan Daesh,” tambahnya.

Sementara itu, Hishammudin yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas berkata pelbagai inisiatif lagi akan dilaksanakan bagi memperkukuhkan kawalan keselamatan di Sabah.

Beliau berkata antaranya ialah tentera darat telah mula menempatkan Markas 13 Briged di Kolej Integrasi Ilmu, Felda Sahabat yang sedang dinaik taraf menjadi markas briged dan sebuah kem akan dibangunkan di Desa Kencana, Felda Sabahat untuk menempatkan satu batalion infantri, unit logistik, unit armor dan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).

“Selain itu kita akan menaik taraf dua pos kawalan di sempadan Sabah iaitu Pos Saliliran dan Pos Serudong dengan menjadikan ia sebagai pos gabungan dengan TNI dan kita juga akan menambah tiga Pos Kawalan Baharu di Kampung Tibau, Timbulan dan Kampung Luis.

“Tentera darat juga bakal menerima enam pesawat Light Attack Helicopter (LAH) jenis MD530-G, yang telah ditandatangani kontrak perolehannya pada November 2016 dan dua pesawat itu dijangka diperolehi bulan ini dan empat lagi pada November 2018. Kesemua pesawat itu akan ditempatkan di Detasemen 881 Skuadron PUTD di kem Sandakan,?” kata Hishammuddin.

Beliau berkata pihaknya juga bakal menaik taraf Pasukan Udara Labuan dan perancangan itu turut meliputi projek peningkatan infra skuadron pesawat pejuang Hawk dan helikopter Eurucopter EC-725 AP.

“Proses menaik taraf Pasukan Udara Labuan itu dijangka selesai sepenuhnya menjelang Disember 2018,” katanya.

Katanya semua inisiatif itu berupaya membantu pasukan keselamatan negara untuk melakukan rondaan dan pengawasan dengan lebih berkesan dan terurus bagi mempertahankan kedaulatan tanah air daripada sebarang pencerobohan pihak luar. Bernama