Jawi panggil, nasihati individu Muslim terjebak ateis untuk perbetulkan akidah

KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Abdul Aziz Jusoh berkata pihaknya memantau serta menyiasat penglibatan umat Islam terlibat dalam perhimpunan gerakan ateis anjuran Kelab Atheist Republic Kuala Lumpur.

Menurut beliau pihaknya sentiasa memantau semua kumpulan di sekitar Lembah Kelang yang cenderung melanggar undang-undang sah sedia ada, termasuk aktiviti golongan ateis ini.

Jawi sedia memanggil dan menasihati mana-mana penganut Islam terlibat kerana tindakan mereka menyertai kelab berkenaan boleh menjejaskan akidah.

Beliau mengingatkan mana-mana ajaran termasuk ateis yang bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah tertolak, selain bertentangan dengan prinsip Kepercayaan Kepada Tuhan dalam Rukun Negara.

Beliau menambah, pihak yang didapati menyebarkan ajaran bertentangan dengan Islam dapat dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997.

Dalam kenyataannya menurut Bernama, Abdul Aziz turut berharap isu tular gerakan ateis di laman sosial baru-baru ini dapat dipantau bersama-sama masyarakat.

Masyarakat diminta membuat aduan awam bagi membantu mengekang kegiatan seumpamanya berkembang.

Jawi menurut beliau merancang beberapa pelan tindakan berhemah, justeru pihaknya menjalankan pendekatan memahami punca, merawat serta menyediakan solusi bagi masalah ini.

Ateis merupakan individu yang tidak mempercayai kewujudan tuhan serta tiada pegangan agama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim sebelum ini menggesa pihak berkuasa khususnya Majlis Agama Islam memburu penganut Islam yang dikaitkan dengan ateis bagi memperbetulkan akidah mereka. – Sarawakvoice