Hanzalah kini jana RM1 juta setahun berkat bantuan PUNB

Muhammad Hanzalah Abdullah Hashim tekun menekan butang-butang di kalkulator, mengira hasil jualan perniagaan makanan dan minuman ringan di kedai miliknya di Bukit Katil di sini.

Sesekali Muhammad Hanzalah, 47, mengukir senyuman di bibirnya sambil memanjat rasa syukur atas perniagaannya Baroqah Foodstuff Sdn Bhd yang kini mampu menjana jualan yang memberangsangkan.

Namun beliau sedikit tersentak memikirkan hala tuju perniagaannya selepas ini, jauh sekali mempunyai sikap tamak tetapi persoalannya bagaimana beliau mahu maju ke tahap lebih tinggi sebagai seorang usahawan dan perniagaannya mampu bukan sahaja memberi manafaat kepada masyarakat setempat malahan di luar sana.

Telah menceburi bidang perniagaan makanan selama lebih 10 tahun, Muhammad Hanzalah mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang berkenaan namun untuk terus maju beliau mahu mendapatkan bantuan bukan sahaja dari segi kewangan tetapi nasihat dan panduan untuk mengembangkan perniagaannya.

Setelah puas berfikir dan menilai segala jenis peluang bantuan yang diketahuinya, Muhammad Hanzalah nekad memohon bantuan pinjaman daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan perbadanan itu meluluskan pinjaman RM300,000 atas kepercayaan peniagaannya berpotensi untuk berkembang ke tahap lebih tinggi.

HANYA TINGGAL RM10

Muhammad Hanzalah sebenarnya hanya memulakan perniagaan makanan dan minuman ringan sekitar enam tahun lepas, dan pernah menjalankan pelbagai perniagaan dalam bidang makanan dan minuman termasuk membuka restoran.

“Tetapi dalam banyak-banyak jenis perniagaan makanan yang saya ceburi sepanjang 10 tahun itu, perniagaan ini nampaknya menjadi dari segi pendapatan.

“Kita bermula sendiri tanpa bantuan kerana kita mahu bina sendiri dahulu tetapi lama kelamaan bila berkembang kita tahu kita perlu bantuan.

“Pernah hadapi hanya tinggal RM10 dalam tangan sepangjang pengalaman saya berniaga, jadi kerana itu kita tahu kita perlu bantuan, bukan bantuan kewangan semata-mata tetapi daripada khidmat nasihat dan panduan, jadi kerana itu kita pilih PUNB kerana percaya mereka mampu membantu kita,” katanya.

Menceritakan pengalamannya memulakan perniagaan itu, Muhammad Hanzalah bermula dengan perniagaan secara bergerak di pasar malam, karnival dan ekspo sebelum membuka kedai jualan runcit dan borong makanan dan minuman ringan di Bukit Katil di sini sekitar dua tahun lepas.

Apa yang menarik, kedai jualan Muhammad Hanzalah itu menjadi perhatian Pengerusi PUNB Tan Sri Mohd Ali Rustam sendiri yang juga anak jati kawasan itu dan Mohd Ali tertarik dengan perniagaan dijalankan Muhammad Hanzalah.

MELANGKAH KE DEPAN

Dengan bantuan daripada PUNB, Muhammad Hanzalah mula melangkah ke depan dengan pantas, buat permulaan menukar konsep kedainya kepada sebuah Agro Bazaar yang menjadi sebuah pusat pengumpulan pelbagai jenis kerepek dan makanan ringan lain.

“Selalunya kita ambil barang dengan pengusaha terutama pengusaha desa di sekitar Banting (Selangor) dan Batu Pahat (Johor) di mana kita dapat membantu pengusaha desa ini memasarkan barangan mereka.

“Dengan konsep pusat pengumpulan Agro Bazaar ini kita boleh pilih barang terbaik untuk kita niagakan, yang mana kita mampu memberikan barangan terbaik kepada pembeli,” katanya.

Selain itu, dengan bantuan PUNB juga beliau sedang merancang mengembangkan operasi penghasilan makanan ringan yang kini dilakukannya secara kecil-kecilan dan dalam masa sama memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Tidak cukup dengan itu, Muhammad Hanzalah mengamalkan konsep pertukaran barang niaga bersama peniaga makanan dan minuman ringan yang lain bagi membolehkan usahawan sepertinya melangkah ke depan secara bersama.

“Kita amalkan konsep multi trade ini di mana kita ada produk sendiri, kita tukar jumlah produk sama nilai dengan usahawan lain dan kita sama-sama pasarkan produk. Dengan cara ini baru kita dapat maju secara bersama,” katanya.

PEMASARAN ALAF BAHARU

Muhammad Hanzalah juga memperoleh bantuan khidmat nasihat pemasaran daripada PUNB, dan menurut beliau apa yang paling diperlukannya ialah memasarkan produknya di internet selaras dengan pemasaran alaf baharu.

Menurut beliau, perniagaannya sebelum ini mempunyai pelanggan di Pahang dan Sabah, malah pernah menghantar produknya ke Labuan.

“Daripada segi pemasaran produk kita ada pengalaman sendiri, tetapi sekarang seiring dengan perkembangan teknologi maklumat terutama dengan anak muda sekarang terdapat keperluan terhadap pemasaran dalam talian.

“Kita berharap PUNB dalat membantu kita daripada segi ini kerana kita mahu bawa produk kita bukan sahaja ke seluruh negara tetapi juga ke luar negara dengan pemasaran dalam talian,” katanya.

Baroqah Foodstuff Sdn Bhd kini mampu menjana jualan purata RM1 juta setahun, malah ketika Ramadan baru-baru ini berjaya menjana jualan kira-kira RM500,000.

Muhammad Hanzalah memasang impian untuk membuka sebuah pusat jualan di Kuala Lumpur suatu hari nanti dan berharap dengan segala bantuan diperoleh daripada PUNB, impian itu mampu direalisasikan.

BANTU USAHAWAN BUMIPUTERA Muhammad Hanzalah hanyalah satu daripada ribuan usahawan Bumiputera memperoleh bantuan daripada PUNB yang ditubuhkan pada 17 Julai,1991.

PUNB adalah sebahagian daripada usaha Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, bagi meningkatkan kualiti usahawan Bumiputera yang terlibat dalam bidang ekonomi strategik di negara ini melalui sokongan kewangan dan korporat.

Penulis bertanya kepada Mohd Ali apa yang akan terjadi kepada usahawan Bumiputera tanpa adanya bantuan disalurkan kerajaan terutamanya melalui PUNB, dan jawapan beliau cukup ringkas namun begitu bermakna: “Bumiputera hanya akan menjadi tukang makan sahaja”.

Mengulas dengan lebih lanjut, Mohd Ali berkata dengan bantuan yang diperoleh sekarang usahawan Bumiputera masih belum mencapai tahap sasaran 30 peratus daripada keseluruhan jumlah usahawan di negara ini.

“PUNB akan terus berusaha untuk membantu serta melahirkan usahawan Bumiputera di negara ini malah tahun ini kita mahu salurkan bantuan sebanyak RM200 juta dan jika ada keperluan kita akan tambah lagi terutama perniagaan runcit dan perusahaan kecil dan sederhana melibatkan belia dan wanita.

“Ini selaras dengan usaha kerajaan untuk membantu rakyat menjana pendapatan tinggi terutama dalam bidang keusahawanan,” katanya.

Sehingga 30 Jun lepas PUNB berjaya membangunkan keseluruhan 6,341 perniagaan melibatkan lebih 9,000 usahawan dengan kelulusan pembiayaan sebanyak RM2.7 billion dan daripada jumlah itu RM231.78 juta pinjaman disalurkan kepada 608 syarikat dengan 862 orang usahawan dalam bidang makanan dan minuman.

Dalam tempoh sama juga di Melaka, PUNB membangunkan 288 perniagaan melibatkan 391 usahawan pelbagai bidang dengan jumlah pembiayaan perniagaan RM71 juta. Bernama