KOTA SAMARAHAN: Dikenali sebagai Kota Ilmu, Kota Samarahan menempatkan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Teknologi Mara (UiTM), sebuah maktab latihan perguruan dan sebuah sekolah vokasional.

Kini, Kota Samarahan bakal memiliki hab perubatan bersepadu berharga RM4 bilion terletak bersebelahan Pusat Jantung Sarawak.

Menurut Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Datuk Peter Minos, apabila dibangunkan sepenuhnya, hab perubatan itu akan membawa kepada pembangunan lain bersamanya.

Beliau sangat menghargai Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg yang mencetuskan idea tersebut yang bakal memeriahkan pelancongan kesihatan atau perubatan ke Kota Samarahan.

Lebih ramai warga asing mendapatkan rawatan dan penjagaan kesihatan dan perubatan.

Memetik Bernama Peter berkata, “ini sesuatu yang besar bagi Sarawak kerana penjagaan kesihatan yang baik untuk orang ramai amat diperlukan dan hab perubatan ini akan mewujudkan dan mendorong kelahiran aktiviti lain seperti penyelidikan perubatan dan perubatan alternatif.”

Bagi Peter MPKS sedia memberi sokongan penuh kepada projek hab perubatan ini kerana ia akan meletakkan Sarawak di peta dunia, selain menjadikan Kota Samarahan lebih terkenal.